Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Kerana ‘ular besar’, Baby Shima tolak lamaran komposer Lagi Syantik

Bagi mengelak daripada mendendangkan lirik berunsur lucah, penyanyi mencipta nama di Indonesia, Baby Shima sanggup melepaskan peluang menjalin kolaborasi dengan komposer lagu fenomena, Lagi Syantik.

Meskipun berasakan tidak semua muzik dangdut sering mengandungi perkataan tidak senonoh, Baby Shima berkata, kali ini dia berkeras hati menolak berikutan mesej di sebalik lirik yang cuba disampaikan oleh Yogi Republik Penguasa Hati (RPH).

“Apabila dapat saja lirik, saya baca dan mendapati pada bahagian lirik ada menyebut sesuatu berkenaan ularnya besar sekali. Saya terus menolak untuk menyanyikan lagu itu.

“Saya terus dapat menganggak maksud tersirat daripada lirik berkenaan,” katanya.

Baby Shima ditemui pada Majlis Iftar bersama MVM Production dan Rusa Music di sebuah hotel di Kuala Lumpur semalam.

Menurut pemilik nama sebenar Nor Ashima Ramli itu, sebelum membuat keputusan untuk menolak lagu tersebut, dia ada bertanyakan pada rakan sekeliling untuk membantu menterjemahkan apa yang tidak difahami.

Katanya, pertanyaan turut diajukan kepada Yogi sendiri yang kemudian menjawabnya tanpa berselindung.

“Dia jawab: Ya memang lirik lagu itu ada unsur lucah,” katanya.

Memang berat untuknya melepaskan peluang keemasan itu, namun disebabkan terkenangkan nasihat keluarga - yang meminta agar selalu berhati-hati dan menjaga diri - Baby Shima akhirnya menolak pelawaan itu secara baik.

“Saya tanya sama ada bolehkah untuk menukar lagu yang lain. Saya lega kerana komposer itu memahami,” katanya.

Mengulas kehadirannya di negara ini, Baby Shima berkata, dia terpaksa diterbangkan pulang ke Malaysia sebaik situasi di Jakarta bertukar menjadi huru-hara.

Dia yang kini berpangkalan di Indonesia berkata, pihak pengurusannya di sana mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak perkara tidak diingini disebabkan lokasi kediamannya berada di sekitar ibu kota negara itu.

"Sudah dua hari saya berada di sini. Saya akan berada di Malaysia hingga keadaan kembali tenang semula di Jakarta," katanya.

Tunjuk perasaan berlaku susulan bantahan kelompok tertentu terhadap keputusan Pilihan Raya Presiden (Pilpres 2019) yang memihak kepada Joko Widodo (Jokowi).

Rusuhan itu mengakibatkan tujuh orang terbunuh dan ratusan lain cedera dalam rusuhan antara penyokong Prabowo sejak kelmarin.

Lihat Komen
ADS