Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Penyanyi Noryn Aziz akur bahawa muzik Jazz hanya mendapat sambutan masyarakat negara ini pada era 90-an ketika era kegemilangan Sheila Majid.

Jelas Noryn, peminat muzik tanah air kini lebih gemar mendengar lagu bergenre balada.

“Sheila Majid sangat bertuah kerana dia mendapat lagu Jazz yang bagus dan pada zaman 90–an ramai suka Jazz.

“Tetapi sekarang mereka (peminat muzik) menyukai genre lagu yang lebih popular antaranya balada,” katanya ketika ditemui di Hotel Majestic Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pemilik nama penuh Norazmahwati Abdul Aziz itu turut mengakui sukar untuk menambat hati peminat seni tanah air menerusi muzik tersebut.

“Sangat susah hendak jual muzik Jazz di Malaysia ini sebenarnya.

“Saya adalah penyanyi Jazz, sukar untuk bernyanyi mengikut genre lain. Jazz adalah keistimewaan saya,” katanya.

Genre Jazz merupakan gaya muzik yang berasal pada permulaan abad ke-20 dalam kalangan masyarakat kulit hitam di Selatan AS dengan nama-nama popular seperti Miles Davis, Ray Charles, Billie Holiday, Ella Fitzgerald dan seumpamanya.

Sementara itu, Noryn menambah bahawa sesetengah peminat muzik kini lebih bertumpu kepada rupa penyanyi berbanding bakat yang mereka ketengahkan.

“Zaman dulu, peminat melihat dengan lebih telus kepada bakat dan nilai seseorang penyanyi itu,” katanya.

Tolak tawaran syarikat rakaman

Penyanyi yang terkenal menerusi lagu Tinta Putih itu juga berkata bahawa dia lebih selesa untuk bergerak sendiri tanpa naungan syarikat rakaman.

“Buat sendiri lebih bebas, dari segi nyanyian saya lebih senang untuk buat keputusan.

“Apabila saya duduk di bawah (syarikat) rakaman nanti, terpaksa ikut cakap mereka, saya jadi tidak jujur pada diri sendiri dan peminat,” katanya.

Kata Noryn lagi, beberapa syarikat rakaman menawarkan untuk bekerjasama namun terpaksa ditolak kerana tidak bersesuaian.

“Tawaran banyak namun kalau kita lihat semua lebih kurang sama, mengejar populariti dan melihat genre muzik utama sebagai pilihan.

“Tidak mengapa keluar duit poket sendiri, biar susah sedikit yang penting kita puas,” katanya.

Jelas pemenang rancangan realiti Gegar Vaganza musim kelima itu, dia akan berjuang demi mempertahankan muzik Jazz di Malaysia.

“Saya ada identiti sendiri, walaupun saya tidak terlalu popular tetapi rezeki tidak putus.

“Saya sanggup ambil cabaran untuk perjuangkan muzik Jazz ini,” katanya.

Lihat Komen
ADS