Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Bersatulah pelawak, industri komedi sedang 'nazak'

Pelawak Along Cham berharap otai komedi Malaysia kembali bersatu di atas pentas.

Tambah Along, persada komedi kian nazak akibat pertumbuhan pertandingan lawak yang kini sudah menjadi trend di Malaysia.

“Bagi saya komedi akan jadi tenat pada masa depan, kerana terlalu banyak pertandingan lawak.

“Pelawak tidak boleh berdiri atas satu pentas berlawanan antara satu sama lain,” katanya ketika ditemui di Majlis Buka Puasa bersama Mawi World Entertainment di Ampang Kuala Lumpur semalam.

Pemilik nama penuh Muhammad Nizamuddin Ahmad berpendapat bahawa program seperti Maharaja Lawak Mega perlu diberi ruang kepada pelawak baru sahaja.

Muka pelawak sama

“Tak salah program itu (Maharaja Lawak Mega) kalau nak bantu pelawak baru, tapi yang sudah otai ini, tidak patut dipertandingkan lagi.

“Ini pula dengan muka pelawak yang sama selama enam musim dengan isi lawak yang biasa saja, adakah program itu (Maharaja Lawak Mega) akan terus hit?,” katanya.

Maharaja Lawak Mega merupakan sebuah program komedi terbitan Astro yang menggabungkan pelawak terbaik dari Malaysia, Singapura dan Indonesia bertanding untuk merebut takhta juara.

Program yang sudah mencecah musim keenam itu menampilkan ramai pemenang dan terbaharu, takhta itu dimenangi oleh kumpulan Shiro yang diwakilli pelawak Shahrul dan Ajak.

Sementara itu, Along juga berkata terdapat perbezaan antara pertandingan nyanyian dan melawak yang kerap diadakan di Malaysia.

“Kita kena fikir kalau pelawak ini, isi lawak (punchline) kena berbeza, kami (pelawak) bukan penyanyi.

"Penyanyi kalau nyanyi lagu sama untuk setiap pertandingan pun orang tetap suka, kalau pelawak guna isi lawak (punchline) sama, orang akan gelak ke?,” katanya.

Along juga berkata, jika terlalu kerap bertanding dalam menghasilkan suatu lawak, ia hanya menghasilkan pelawak yang ‘asal boleh’ sahaja.

Tambah Along, dia berasa kagum dengan segelintir pelawak yang memilih untuk menyertai pertandingan itu hanya sekali.

“Kalau tengok Jozan, Sepahtu, saya kagum. Mereka masuk sekali, lepas dah menang mereka cakap cukup.

“Takhta Maharaja (Program Maharaja Lawak Mega) selalu orang pegang sekali,” katanya.

Along yang mengakui kehebatan Jozan dan Sepahtu meminta agar pelawak industri komedi mengambil kumpulan ini sebagai contoh untuk berjaya.

“Mereka (Jozan dan Sepahtu) kerap buat sitkom dan rancangan bual bicara.

“Jadi kalau mereka buat sitkom mesti hit, sebab penonton nak tengok teletah sempoi, bukan dari lawak yang terpaksa setiap minggu menerusi pertandingan,” jelasnya.

Tambah pelakon filem Tiada Tajuk itu, dengan mewujudkan pertandingan sebegini, ia akan mengurangkan keharmonian sesama pelawak.

“Kita tiada satu kumpulan besar, masing-masing ada kumpulan sendiri.

“Ini juga akan menjadikan perbalahan antara pelawak, itu lah penyebab kejatuhan moral dan nazaknya komedi di Malaysia,” katanya.

Selain itu, Along bercadang agar pelawak kembali mewujudkan sitkom komedi yang boleh merapatkan lagi jurang antara mereka.

“Kita (pelawak) harus berdiri sama-sama atas pentas dan buat kelakar, banyakkan sitkom dan mungkin satu konsert lawak untuk kita (pelawak).

“Kita warnakan kembali seperti Senario dulu, mesti seronok,” katanya.

Lihat Komen
ADS