Malaysiakini
SENI & HIBURAN

Rumah tangga keempat A Aida runtuh lagi

Diterbitkan
Dikemaskini 18 Jun 2019, 8:53 pagi

Penerbit sensasi, A Aida mengakui mahligai perkahwinan dibinanya untuk kali keempat menemui titik noktah sekali lagi pada 25 April lalu.

Mengumumkan perkara itu, A Aida berkata dia bertemu peguamnya bagi memfailkan perceraian selepas berasa tidak lagi mampu berkongsi hidup dengan aktor muda, Ariff Aziz.

"Saya berjumpa dengan peguam saya pada 4 April lalu.

"Saya failkan kes cerai dan cerai secara baik," katanya melalui sebuah rakaman klip video pada sidang media dan disiarkan di media sosial.

Bagaimanapun, A Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang enggan mengulas lebih lanjut punca utama berlakunya perpisahan tersebut.

"Bagi saya ia biarlah menjadi rahsia. Saya buat sidang media untuk jelaskan spekulasi status perkahwinan saya," katanya.

Sebelum ini rumah tangga A Aida, 49, dan Ariff, 30, dihidu bermasalah oleh media selepas mereka tidak mengikuti akaun Instagram masing-masing bermula hujung tahun lepas.

Menurut penerbit drama Andainya Takdir itu, dia mengambil masa hingga dua bulan sebelum mengumumkan perkara itu kerana perlu menunggu masa yang dirasakan sesuai.

Menurutnya lagi, kalau diikutkan dia enggan bercerai sekali lagi namun segala-galanya sudah sudah ditentukan-Nya.

“Jodoh pertemuan, ajal maut dalam jagaan Allah SWT. Saya sendiri tidak mahu bercerai berai macam ni, tetapi apa boleh buat.

"Saya tak nak komen kat sini ajal dan jodoh adalah rahsia Allah, tiada siapa yang minta.

"Saya minta doa yang baik baik sahaja," katanya yang mahu menumpukan sepenuh perhatian kepada perniagaan diusahakannya selepas ini.

A. Aida dan Ariff atau nama penuhnya Wan Izma Ariff Abdul Aziz berkahwin pada 21 Julai 2018 di sebuah hotel di Subang Jaya selepas tiga bulan menyulam hubungan cinta.

Pasangan yang berkahwin tidak sampai tempoh setahun itu tidak dikurniakan cahaya mata.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.