Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

BUKU | Buku terbaru Zunar, sebagaimana judulnya, Fight through Cartoons: My Story of Harassment, Intimidation & Jail (Singapore: Marshall Cavendish Editions, 2019) amat berbeza daripada buku-bukunya sebelum ini. Hal ini kerana ini bukan buku kartun, tetapi buku mengenai proses kreatif, dampak kartunnya, serta liku perjalanannya sebagai seorang kartunis politik di Malaysia, khususnya pada era kritikal politik Malaysia daripada tahun 2009 hingga 2019.

Dipersembahkan secara kronologi, buku ini menampilkan perkembangan seni dan karya-karyanya berlatarbelakangkan peristiwa-peristiwa penting yang mempengaruhi kreativitinya dan isu-isu serta krisis-krisis politik di negara ini. Menerusi kerja kreatifnya, nama Zunar sudah begitu sinonim dengan isu-isu besar di negara ini. 

 Lebih daripada ini semua, seperti judulnya, buku ini menghuraikan secara terperinci ancaman-ancaman yang dihadapinya ekoran daripada penghasilan kartun-kartunnya: gangguan, intimidasi dan penjara terhadap diri dan pembantu-pembantunya; tangkapan; rampasan buku; penggeledahan pejabat oleh pihak berkuasa; tekanan terhadap penerbit dan pencetak buku-bukunya; serta serangan mental dan fizikal penyokong-penyokong kerajaan terdahulu terhadap pameran, karya seni dan dirinya sendiri.

Bermula dengan bab pengenalan politik Malaysia (An Introduction to Malaysian Politics) oleh Sukhbir Cheema, penulis, kartunis dan pengasas bersama Eksentrika yang membantu Zunar dalam penerbitan buku ini, pembaca didedahkan dengan perkara-perkara penting berkaitan Malaysia seperti sejarah pemerintahan, undang-undang berkaitan media dan penerbitan, seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan dan Akta Hasutan, budaya tapisan kendiri serta latar politik Malaysia sebagai konteks pengkaryaan Zunar dan kesannya terhadap kebebasan bersuara di negara ini.

Hal ini pada dasarnya selaras dengan pendekatan Sejarah Seni dan Apresiasi Seni yang meneliti karya secara formalistik dan kontekstual serta mengambil kira aspek kronologi dalam memahami karya dan meletakkan seniman dalam peta perkembangan seni yang lebih menyeluruh. Jelasnya, meletakkan Zunar pada konteksnya. 

 Selain daripada menampilkan konsep dan falsafah proses kreatif Zunar serta cabaran-cabaran yang dihadapinya, turut ditekankan ialah objektif Zunar untuk mendidik dan menyedarkan masyarakat akan kepincangan dalam sistem pemerintahan negara dan untuk melakukan “perubahan” terhadap situasi ini menerusi kartun-kartunnya.

Menerusi bab-bab berikutnya, Zunar menghuraikan secara terperinci proses kreatifnya dengan memberi fokus kepada penerbitan beberapa majalah kartun politik bersama teman-teman kartunis lain seperti Gedung Kartun (2009); Perak Darul Kartun (2009); dan Isu Dalam Kartun (2010), serta buku-buku pentingnya 1 Funny Malaysia (2009); Cartoon-O-Phobia (2010); Even My Pen Has A Stand! (2011); Pirates of the Carry-BN (2012); The Conspiracy to Imprison Anwar (2014); Lawak & Lawan (2012); Ini-Kartun’Lah (2013); Ros in Kangkong Land (2015); Wasabi (2016); Sapuman: Man of Steal (2015); dan buku yang disifatkannya sebagai paling popular, Ketawa Pink Pink (2018). 

Sebelumnya, dia memberi huraian ringkas tentang sejarah kerjayanya yang antara lain pernah menjadi buruh binaan, pekerja kilang dan pembantu makmal di sebuah hospital kerajaan sehinggalah akhirnya menjadi seorang kartunis politik.

Buku ini adalah mengenai proses kreatif Zunar dan dampak karyanya terhadap perubahan sikap rakyat dan senario politik Malaysia serta dunia kartun itu sendiri. Kaedah Zunar berkarya amat sistematik, daripada proses pencarian, percambahan dan penemuan idea; pembentukan konsep; penentuan objektif dan metodologi; penghasilan karya; dan akhirnya meneliti respons khalayak, sama ada rakyat ataupun pemerintah. Kesemuanya ini dibentuk berasaskan penyelidikan yang teliti, justeru Zunar mengakui penyelidikan terhadap sesuatu subjek dan watak amat penting dalam proses pengkaryaan.

Zunar berkarya untuk mendidik masyarakat agar peka tentang kepincangan dalam sistem pemerintahan negara yang diselubungi rasuah dan penyalahgunaan kuasa; menekankan bahawa politik mempengaruhi kehidupan mereka; dan akhirnya untuk melakukan “perubahan”. Hal ini mendorongnya untuk sentiasa meneroka pendekatan baharu dalam berkarya agar mesejnya sampai kepada masyarakat pembaca. 

Daripada karya-karya yang hanya menekankan kepada isu-isu dan watak-watak utama seperti pemimpin yang korup, dia mewujudkan watak-watak kecil yang mewakili khalayak agar dapat dihayati dan menyedarkan bahawa merekalah yang menjadi mangsa.

Kepintaran menggunakan bahasa visual, simbol, metafora dan mainan kata-kata atau pun yang tepat membantu khalayak memahami kartun dan mesejnya, sebagaimana cincin berlian mewakili Rosmah Mansor; ataupun parodi Superman: Man of Steel menjadi Sapuman: Man of Steal bagi menggambarkan mantan perdana menteri Najib Razak. 

Karikatur, perumpamaan, parodi, elemen kontras, dan satira menjadi sebahagian daripada senjatanya yang ampuh dan berkesan. Zunar faham bahawa kartun politik yang efektif adalah kartun yang dapat memadatkan isu-isu yang kompleks dalam suatu persembahan yang padu dan padat; dan kartun politik yang hebat adalah kartun-kartun yang berjaya menyerang dan melukakan sasaran-sasarannya.

Tulisan Zunar mengupas secara terperinci bagaimana setiap karya dan buku kartun yang dihasilkannya telah menjadi kontroversi ekoran daripada tindakan pihak berkuasa menyekat pengedaran atau penjualannya, meskipun bagi sesetengah judul seperti Gedung Kartun (2009) telah memperolehi kebenaran awal penerbitan daripada KDN. 

 Buku-buku Zunar yang lain turut mengalami nasib yang sama kerana kartun-kartunnya itu mendedahkan skandal rasuah yang melanda negara, khususnya melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak dan kemewahan gaya hidup isterinya Rosmah Mansor; ataupun yang menyentuh isu-isu kritikal lain seperti kematian misteri pembantu politik pembangkang Teoh Beng Hock; pemenjaraan Anwar Ibrahim; pembunuhan Altantuya dan skandal 1MDB. 

 Kartun-kartunnya dianggap boleh menganggu ketenteraman awam. Justeru itu, karya-karya Zunar diharamkan dan dia turut diheret ke balai polis, ditahan dalam lokap, didakwa di mahkamah dan dipenjarakan. Kesemua ini dihuraikan dengan begitu terperinci oleh Zunar dalam buku ini.

Seperti sifatnya yang teliti dalam menghasilkan karya kartunnya, Zunar turut menghuraikan setiap peristiwa dengan begitu halus dan terperinci dalam buku ini. Bagaikan mata dan persepsi seorang pelukis yang tajam, dia menghuraikan dengan terperinci keadaan lokap di balai polis Dang Wangi di mana dia ditahan selepas menghantar beberapa pesanan twit dan kartun ekoran daripada keputusan hakim menjatuhkan hukuman penjara kepada Anwar Ibrahim pada 10 Februari 2015. Membaca huraiannya, khalayak dapat menggambarkan dengan jelas keadaan lokap yang tidak selesa dan menyedihkan itu.

Sebagaimana proses kreatifnya yang terperinci dan sistematik, begitu jugalah Zunar dalam menghadapi setiap kemungkinan dan ancaman terhadap diri dan pembantu-pembantunya ekoran daripada penerbitan kartun-kartunnya itu. Dia membuat penyelidikan rapi untuk setiap kartunnya, begitu juga dia mengatur strategi dan langkah-langkah yang kemas, teratur serta tenang dalam menghadapi setiap penahanan dengan menghubungi rakan-rakan media agar berita penahanannya itu dapat disebarkan, terutamanya melalui Internet dan media sosial. 

 Kes Zunar menunjukkan kepentingan dan kuasa Internet dan media sosial dalam mempengaruhi senario politik baharu dunia global dan negara ini. Strategi Zunar ini boleh menjadi semacam suatu panduan atau manual bagi mana-mana kartunis, penulis atau pelukis dalam menghadapi ancaman, tekanan dan keadaan sedemikian.

Karya-karya Zunar telah membangkitkan semula tradisi seni kartun politik Malaysia yang tajam seperti dilihat dalam era prakemerdekaan ketika kartunis dan media menentang penjajahan. 

 Dalam konteks ini, Zunar telah mengubah landskap seni kartun politik Malaysia yang sebelum ini kebanyakkannya bersifat dokumentari dan propaganda kepada suatu bentuk senjata politik dan medium kritikan yang berkesan sehingga memungkinkan dia menerima pengiktirafan global dan menjadi kartunis politik terpenting alaf baharu ini.

Falsafah pengkaryaan Zunar “How can I be neutral? Even my pen has a stand” dengan sendirinya menunjukkan dia tidak kompromi terhadap apa jua bentuk ketidakadilan, korupsi dan penyelewengan. Baginya, bersikap neutral adalah suatu bentuk pelarian, sebagaimana tulisnya: “Neutrality is escapism”.

Zunar menekankan, bakat yang ada bukanlah suatu anugerah, tetapi suatu tanggungjawab untuk memperbaiki kepincangan yang berlaku dalam negara. Keadilan yang diperjuangkan adalah untuk negara, bukan untuk dirinya. Ketakutan diketepikannya, kerana tanggungjawabnya sebagai seorang kartunis adalah untuk mengubah dan memperbaiki keadaan.

Buku Zunar ini juga menunjukkan bahawa dia tidak keseorangan dalam perjuangannya, kerana kesetiaan pembantu-pembantunya, rakan-rakan akrab, ketabahan isteri, komitmen para peguamnya, badan-badan media dan kartunis antarabangsa dan para peminatnya yang setia daripada seluruh pelosok dunia turut menyumbang dan memainkan peranan kepada kejayaan Zunar dalam “perjuangannya melalui kartun”.

Zunar telah menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan di peringkat antarabangsa atas keberanian, ketajaman dan keberkesanan karya-karyanya dalam memperjuangkan kebebasan bersuara menerusi seni, khususnya kartun, serta memberi sumbangan terhadap pemulihan dan pembinaan semula negara ini. 

 Kartun-kartunnya bukan sahaja mendedahkan kepincangan pentadbiran dan penyalahgunaan kuasa, malahan telah menyedarkan masyarakat agar lebih peka terhadap isu-isu politik yang kritikal yang telah mempengaruhi kehidupan mereka sebagai rakyat dan manusia. Dalam konteks ini, kartun-kartunnya bukan sahaja menjadi senjata protes yang berkesan, tetapi turut menjadi agen perubahan minda, persepsi dan pemikiran. Sebenarnya, inilah “anugerah paling besar” yang diterimanya.

Buku terbaru Zunar, Fight through Cartoons: My Story of Harassment, Intimidation & Jail ini harus dimiliki dan dibaca oleh semua orang kerana kandungannya adalah tentang Zunar, negara dan kita semua. Membaca buku ini akan membuatkan kita memahami Zunar yang sebenarnya dan perubahan yang berlaku dalam proses membina semula sebuah negara.

NOTA: Buku ini boleh diperolehi melalui website rasmi Zunar, kedai-kedai buku dan di program Zunar di Pulau Pinang- 29 Jun, 7 malam di Hikayat Book atau 30 Jun di Borders Queensbay, 2 petang.


MULIYADI MAHAMOOD, PhD adalah mantan profesor pengajian seni kartun di Fakulti Seni Lukis & Seni Reka, Universiti Teknologi MARA (UiTM). Beliau memperoleh ijazah kedoktoran PhD in Cartoon Studies daripada University of Kent, Canterbury, United Kingdom pada tahun 1997 dan telah menulis banyak buku mengenai seni kartun dan seni moden Malaysia di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Beliau menerima Anugerah Akademik Negara pada tahun 2012.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian.

Lihat Komen
ADS