Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Tentang Phantom mengejar cinta di Istana Budaya

Replika lampu candelier Paris Opera House seberat 308 kilogram digantung setinggi tiga meter atas pentas Istana Budaya bagaikan percikan cahaya kelihatan memberi nilai tambah pada persembahan The Phantom of the Opera.

Persembahan itu dijayakan 130 pelakon, kru dan ahli orkestra serta dilengkapi set pemandangan menakjubkan, selain tata cahaya dan kesan khas mengagumkan.

Teater itu juga menampilkan lebih 230 kostum ilham pereka antarabangsa menunjukkan penerbitnya memang berusaha maksimum untuk memberi yang terbaik sepanjang pementasan.

Justeru, dapat difahami apabila produksi yang menampilkan teater bertaraf dunia itu sanggup menangguhkan pementasan sehingga lebih dua tahun sebelum ia dapat ditonton di negara ini.

Kata penolong pengarahnya, Rainer Fried, mereka telah beberapa kali cuba membawa karya itu ke Malaysia tetapi tidak berjaya disebabkan halangan tertentu.

“Set produksi sebelum ini mempunyai keperluan teknikal yang berbeza. Ada panggung teater dalam dunia ini yang tidak memenuhi keperluan itu.

“Bagaimanapun, selepas melakukan penambahbaikan dan membuat rekaan semula set, teater ini akhirnya dapat diperluaskan ke banyak negara lain dan kini ia ada di Malaysia,” katanya ketika ditemui di Istana Budaya baru-baru ini.

Jelas Fried, kejayaan tersebut memang membanggakan kerana pihaknya telah lama menunggu peluang seperti itu.

“Lama kami menunggu untuk masuk ke Malaysia, akhirnya impian itu menjadi nyata," katanya.

The Phantom of the Opera ialah teater muzikal blockbuster daripada Andrew Llyod Webber yang buat kali pertama dipersembahkan di negara ini dan ia bermula awal Jun lalu sehingga 7 Julai depan.

Puas hati dengan keperluan teknikal

Naskhah yang diangkat dari buku Perancis - dengan tajuk sama - pernah memenangi lebih 70 anugerah termasuk Olivier, Evening Standard, Tony dan Outer Critic Circle.

Fried berkata, pihak produksi memerlukan hingga tiga hari untuk mempersiapkan pentas dan set produksi turut membawa peralatan sebanyak 17 kontena dari Singapura sebelum ini.

“Apa pun cabaran terutama dari segi teknikal, kami yakin dan berharap dapat melakukan yang terbaik di sini.

“Setakat ini, ia sangat mengagumkan dan saya sangat gembira dengan keperluan teknikal yang ada di sini (Istana Budaya),” katanya.

The Phantom of the Opera berkisahkan seorang lelaki genius muzik, Phantom, yang berselindung di sebalik topeng menghuni Paris Opera House.

Klimaks cerita berlaku ketika Phantom cuba menawan hati penyanyi soprano jelita Christine Daae tanpa menyedari gadis itu sebenarnya telah jatuh hati pada lelaki lain.

Jonathan Roxmouth

Sementara itu, pelakon yang membawa watak Phantom, Jonathan Roxmouth, berkata peranan yang diberikan kepadanya itu adalah perkara terbaik pernah berlaku dalam hidupnya sebagai seorang penggiat teater.

“Saya tidak memerlukan motivasi untuk melakukan watak Phantom kerana bukan semua orang bertuah untuk melakonkan watak paling mengujakan seperti ni.

“Tambahan pula, bekerja dengan kru produksi dan pelakon yang berkelas dunia. Kadang-kadang, saya rasa tidak mahu meninggalkan pentas,” katanya.

Menurut Roxmouth, cuaca di Kuala Lumpur juga tidak menjadi masalah buatnya malah ia memberi kelebihan kepada dirinya yang juga bertindak selaku penyanyi dalam pementasan tersebut.

“Cuaca di Malaysia ini lembab, ia sangat bagus untuk menjaga suara bagi pelakon seperti saya.

“Ini kerana kalau kita berada di negara yang cuacanya sejuk, kita akan terdedah dengan lebih banyak penyakit dan turut akan menyukarkan saya untuk menjiwai watak itu,” katanya.

Berbeza dengan novel

Mengulas karya The Phantom of Opera yang dijadikan sebagai silibus pengajian sekolah-sekolah di Malaysia, Roxmouth berkata, pembaca perlu menyedari terdapat perbezaan antara novel dengan naskhah yang dipentaskan.

"Dalam novel, watak Phantom dipaparkan sebagai seorang lelaki jahat namun dalam teater, watak itu ditunjukkan sebagai lelaki penyayang dan hatinya mudah terusik dengan cinta,” katanya.

Tambah Roxmouth, sesiapa yang membaca novel itu wajar menonton teater di Istana Budaya untuk memahami cerita berkenaan dari sudut pandang yang lain.

“Pengarah cuma ambil konsep daripada buku, peminat mungkin boleh berimaginasi tentang watak dan tutur kata namun tidak pada lagunya.

“Jadi, menerusi teater mereka boleh melihat dan mendengar serta menjiwai kisah itu dari perspektif berbeza,” katanya.

Pasangan Roxmouth, Meghan Picerno, yang memainkan watak Christine juga menampilkan lakonan tidak kurang hebatnya.

Gandingan Roxmouth dan Meghan dilihat serasi kerana sang kedua-dua mereka berjaya menjiwai watak diberikan.

Meghan berkata, perkara paling penting buatnya semasa melakonkan watak Christine adalah peluang berkomunikasi dengan pelbagai latar bangsa peminat.

“Komunikasi dengan peminat adalah perkara paling penting dan sangat saya hargai.

“Berpeluang berkomunikasi dengan manusia berlainan budaya, latar belakang, agama dan bahasa adalah satu perkara yang magis," katanya.

Tambahnya, meskipun berlainan bahasa dan dipisahkan dengan perbezaan budaya, komunikasi itu tetap berjaya kerana ramai memahami jalan cerita yang dimainkan.

Meghan turut menjelaskan wataknya itu membuat dirinya kini lebih mengenali erti cinta sebenar.

“Christine mengajar saya untuk mencintai seseorang dengan lebih ikhlas.

“Saya rasa itu yang boleh dipelajari oleh sesiapa yang hadir dan melihat Christine melakonkan watak cinta itu,” katanya.

Lihat Komen
ADS