Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Laman media sosial restoran Chef Wan kena serang
Diterbitkan:  Jul 15, 2019 6:15 PM
Dikemaskini: 10:15 AM

Laman media sosial restoran cef selebriti Redzuawan Ismail atau Chef Wan 'diserang' dengan ulasan negatif.

Dalam kiriman Instagram, Chef Wan mendakwa ulasan-ulasan negatif itu muncul kerana kenyataannya selepas menerima anugerah Ikon Anak Felda dari Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad minggu lepas.

Antara lain, media memetik Chef Wan menggambarkan bahawa ramai peneroka Felda malas dan "membiak seperti kucing".

"Cybertrooper hati busuk memburukkan dan memfitnah restoran kami di Facebook dan Google.

"Mereka ingat semua rakyat Malaysia bodoh seperti mereka untuk telan bulat-bulat semua itu.

"Tak berkudis pun perniagaan kita. Mereka akan kalah. Menyalak macam anjing gila meroyan mahu saya pulangkan Anugerah Ikon Felda itu.

"Lagi dianiaya lagi murah rezeki yang Allah beri," katanya melalui kiriman yang memaparkan tangkap layar ulasan-ulasan berkenaan.

Laman media sosial restoran itu adalah bagi restoran De.Wan 1958 oleh Chef Wan, di The Linc KL di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Dalam temu bual dengan New Straits Times yang diterbitkan hari ini, cef berusia 61 tahun itu mendakwa beberapa pihak telah memutar belit kenyataannya sebelum ini.

"Orang perlu membaca ayat saya dengan betul. Saya tidak mengatakan 'semua' peneroka Felda malas. Saya berkata 'segelintir', yang bermaksud 'beberapa'," katanya.

Chef Wan sebelum ini dipetik berkata bahawa sesetengah peneroka Felda mempunyai lebih daripada satu isteri dan banyak anak tetapi tidak bertanggungjawab dan tidak menjaga anak mereka.

"Ada anak-anak muda yang tidak mempunyai pekerjaan dan menjadi penagih dadah tanpa pendidikan. Semua ini menyebabkan masalah sosial.

"Jangan putar belit belit isu hanya untuk mendapatkan undi dan sokongan politik," katanya.

Selepas menerima Anugerah Ikon Felda, Chef Wan dalam kenyataan di Instagram, menggesa peneroka Felda bekerja keras kerana harga minyak sawit tidak menentu.

"Malaysia diberkati dengan tanah yang baik dan terdapat banyak tanah terbiar. Kerajaan harus menswastakan tanah ini untuk tanaman tunai.

"Saya telah pergi ke Australia, Norway dan Sweden untuk rancangan TV saya dan melihat bagaimana orang menanam tanaman tunai dan meningkatkan ternakan, menggunakan sepenuhnya tanah dan menyumbang kepada ekonomi.

"Di belakang rumah, banyak rakan peneroka Felda menjual subsidi baja yang diberikan kepada mereka oleh kerajaan, dan apabila mereka menerima dividen, mereka berkahwin dua atau tiga kali dan 'berkembang biak seperti kucing'.

"Saya melihat semua ini ketika saya dewasa (dalam penempatan Felda). Sikap buruk mereka telah diwariskan kepada cucu mereka, " katanya dalam kiriman itu yang mendapat kritikan pihak tertentu.

Chef Wan bagaimanapun sudah memadam kiriman berkenaan.

Lihat Komen
ADS