Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

ULASAN | Sekelian sahabat pun bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah kita boleh meraih pahala daripada binatang?"

“Pada setiap hati yang basah itu, terdapat pahala,” jawab baginda dengan tenang.

Ini adalah kisah tentang hubungan anjing yang hidup dalam lingkungan manusia yang tak pernah senang.

Pensejarahan hubungan yang unik di antara manusia dan anjing adalah sesuatu yang sangat menarik untuk diperhati dan dikaji.

Sejak lebih 8,000 tahun dulu lagi imej anjing dipahat ke dinding-dinding gua sebagai suatu hasilan seni yang hingga kini masih menjadi suatu keindahan yang kaya dengan rahsia.

Rahsia tersebut pernah cuba dijelaskan oleh Dr Maria Guagnin, seorang ahli arkelogi dari Jabatan Arkeologi Max Planck Institute di Jerman.

Dia yang menjalankan penyelidikan terhadap lukisan dinding dan ukiran batu zaman praneolitik yang dia temui di Jubbah dan Shuwaymis Arab Saudi.

Gambaran hubungan erat

Ia menjelaskan hubungan di antara imej anjing yang digambarkan pada dinding dan ukiran batu memang ada kaitan dengan persekitaran, landskap, budaya dan cara hidup pengkarya yang menghasilkannya.

Dia menggunakan kaedah gabungan analisis zoologis, kuantitatif dan spatial bagi mengasingkan maklumat tentang alam sekitar dan budaya yang terkandung pada imej seni yang ditemukan.

Pendekatan itu dibuat bagi memudahkan penelitian terhadap data integrasi untuk ditafsir ke dalam konteks arkeologi supaya dapat difahami aspek sosialnya sehingga boleh diasosiasikan karya seni tersebut lalu menghubungkaitkannya dengan manusia.

Sumber-sumber arkeologi sememangnya telah lama memaklumi akan perkara sebegini. Ini bersandarkan kepada beberapa siri penemuan tulang-tulang anjing berusia sekitar 10,000 tahun yang elok dimakamkan pada beberapa bekas tapak yang pernah dihuni manusia zaman lampau.

Dr Maria Guagnin

Dr Maria merumuskan bahawa imej-imej yang ditemukan itu merupakan pembuktian tentang keakraban hubungan manusia dengan anjing yang telah sekian lama terjalin. Sekali gus ia menjelaskan keterikatan hubungan yang erat dengan haiwan yang digambarkan.

Cerita tentang anjing, gua dan manusia ini juga telah dikisahkan al-Quran melalui pengembaraan tujuh pemuda yang ditidurkan tuhan selama 300 tahun.

Malah kisah Maximilian, Lamblicus, Martinian, Dionysius, Exacustodianus, Antoninus dan John ini turut dicatatkan oleh teks-teks dalam tradisi Kristian dan Yahudi.

Malah baginda Rasulullah SAW sendiri pernah menzahirkan hubungan unik ini secara lansung melalui jalan paling spiritual dengan menyebutkan: “Pada setiap hati yang basah terdapat pahala” apabila ditanya “apakah kita boleh meraih pahala dari binatang?” oleh sahabat baginda.

Trak tenggelam punca

Kisah itu diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah RA: “Ketika seorang lelaki sedang berjalan, dia berasakan kehausan yang teramat sangat, lalu dia turun ke telaga dan minum. Ketika dia keluar (naik dari telaga), ternyata ada seekor anjing sedang menjelirkan lidahnya menjilat tanah basah kerana kehausan. Dia berkata: Anjing ini kehausan seperti aku. Maka dia mengisi kasutnya dan memegang dengan mulutnya, kemudian dia naik dan memberi anjing itu minum. Allah berterima kasih kepadanya dan mengampuninya.”

Pada tahun 2000, Alejandro Gonzalez Inarritu mengarahkan sebuah filem yang ditulis lakon layarnya oleh Guillermo Arriaga. Filem berjudul Amores Perros (Suka Anjing) itu membawa pengertian yang mendalam tentang kebaikan, kecantikan serta kecelakaan, kebencian dan penderitaan yang diterjemahkan sebagai Love’s a Bitch.

Amores Perros dibuka dengan satu persoalan yang serba mencemaskan. Octavio dan temannya bersama seekor anjing separuh mati - kerana luka parah, dengan darah mencurah-curah - tiba-tiba dikejar sebuah trak yang tidak ketahuan punca.

Kemuncak pada babak cemas yang penuh darah itu adalah kemalangan tragis yang membawa lebih banyak darah dan pertanyaan.

Peristiwa itu adalah titik pertemuan kepada seluruh watak. Kisah Octavia dan Susana yang terjerat dalam percintaan sumbang yang serba terdesak dalam kemelut hubungan dan kemiskinan.

Kisah Daniel dan Valeria yang memiliki kehormatan diri dan kesempurnaan hidup namun kesal sepanjang hayat kerana kalah pada pilihan yang salah.

Serta kisah El Chivo dan Maru yang terhimpit dengan kemelaratan rindu dan kejanggalan kasih sayang silam yang dibunuh oleh waktu atas nama ideologi perjuangan yang hanya tinggal kenangan.

Kisah watak-watak itu dipecahkan kepada tiga alur pengisahan yang diceritakan melalui naratif non-linear bertindan dengan penuh kesakitan lalu dipadatkan dengan semangat dan pemberontakan.

Berfikir dengan judul

Amores Perros adalah interpritasi suatu sisi pandang cinta sebenar yang disampaikan dengan cara penuh kemarahan. Realiti peluh daripada semangat - dan darah daripada cinta yang ditumpahkan - akan selalu disesah rasa cemburu dan benci yang bersalut kesucian.

Kekuatan Amores Perros adalah pada pendekatan tentang bagaimana segenap semangat, jiwa dan rasa itu diceritakan.

Kebijaksanaan dalam menghubungkan watak Octavia dan El Chivo bersama seekor anjing bernama Cofi adalah metafora tentang kelangsungan pergelutan kehidupan.

Ia tentang bagaimana kekuatan manusia dikumpulkan untuk menerima fitrah dan takdir-takdir malang yang jadi lumrah sebagai suatu ketentuan.

Justeru Cofi diperlihatkan sebagai tuah kepada Octavia namun sebaliknya membunuh seluruh bahagia El Chivo yang dia kutip di jalanan sebagai teman.

Amores Perros adalah suatu perlambangan hubungan seni yang memperlihatkan anjing menjadi tuhan; melihat bagaimana hidup itu menjalangkan manusia melalui jalan-jalan cinta yang penuh penyundalan.

Tidak sedikit para seniman dan karyawan yang menyematkan anjing sebagai sumbu seni terindah bagi memperlihatkan hubungan dengan kemanusiaan - sebagaimana dilakukan Pablo Picasso dalam The Boy with the Dog atau Andy Warhol dalam Potrait of Maurice.

Amores Perros membuang segala rasa malu dalam gundah kegelisahan manusia yang sering menyesah ingin menyerah. Spiritual dalam filem ini terlalu agung sehingga judulnya saja akan membuat kita berfikir tentang banyak hal dalam kehidupan.

Seolah-olah segala takdir hidup itu menganjingkan kita yang selalu menganggap anjing hanyalah sekadar seekor anjing.


HARIS HAUZAH seorang penulis skrip dan anggota sidang utama Komuniti Filem Titiwangsa (Komfit).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS