Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Anak Bruce Lee selar filem Tarantino gambarkan bapa bongkak
Diterbitkan:  Jul 31, 2019 11:26 AM
Dikemaskini: 3:31 AM

Filem terbaru Quentin Tarantino Once Upon A Time In Hollywood yang dijayakan pelakon Leonardo DiCaprio dan Brad Pitt - mencatatkan AS$41 juta (RM169 juta) pada tayangan pembukaan selain memperolehi skor 86 peratus dari Rotten Tomatoes.

Filem berkenaan juga menerima tahap B melalui data perolehan CinemaScore yang diukur dari kalangan penonton.

Namun, tidak semua penonton berasa teruja dengan filem berlatarbelakangkan tahun 1969 yang turut memaparkan pelakon Mike Moh sebagai Bruce Lee itu.

Ia disuarakan oleh anak mendiang legenda seni mempertahankan diri itu, Shannon yang menyelar cara Tarantino memaparkan imej bapanya dalam filem berkenaan.

Mengulas secara khusus babak tersebut, Shannon berkata, ia berlaku sewaktu karakter bapanya mencabar Cliff Booth - watak dijayakan Pitt - yang akhirnya memenangi pertarungan berkenaan.

Kata aktres itu, pada babak itu bapanya digambarkan sebagai seorang bersifat angkuh.

“Di sini watak bapa saya sengaja diperbesar-besarkan apabila dia dilihat mencabar Pitt. Ini tidak menggambarkan sifat sebenar bapa saya.

“(Bruce) dipaparkan sebagai seorang yang bongkak dan bersifat pemarah malah perlu berlawan tiga kali ganda seperti orang kebanyakan sedangkan bakat itu dimiliki semulajadi.

“Sungguh tidak selesa untuk berada dalam panggung dan mendengar penonton mentertawakan bapa saya,” katanya.

Menurut Shannon, 59, impiannya yang sebenar adalah ingin melihat bagaimana kehidupan seorang Bruce Lee dipaparkan sebagai dirinya yang sebenar.

“Gambaran itu ibarat mencampak semua sifat positif dimiliki bapa saya ke dalam tandas.

“Ini terutama apabila mereka membuatkan bapa saya kelihatan seperti seorang yang sangat sombong," katanya.

Tambahnya, mereka juga tidak perlu memperlakukan bapanya seperti dilakukan industri Hollywood ketika dia masih hidup.

“Saya memahami sekiranya Tarantino mahu menaikkan imej karakter Pitt seperti adiwira yang mampu mengalahkan Bruce,” katanya.

Untuk rekod, pelakon Hong Kong-Amerika itu yang berjuang untuk menempatkan nama dalam industri Hollywood, pernah tewas mendapatkan peranan utama dalam drama bersiri Kung-Fu.

Ia berlaku atas alasan pelakon Asia tidak sesuai dipasarkan kepada penonton kulit putih.

Bruce meninggal dunia pada 1973 sewaktu berusia 32 tahun selepas didiagnos mengalami edema serebral atau pembengkakan otak akibat cecair berlebihan.

Kejadian itu berlaku sebelum filem terakhirnya ditayangkan iaitu Enter the Dragon, antara filem berkisahkan seni mempertahankan diri yang mencatat kejayaan dalam sejarah kutipan.

Once Upon A Time In Hollywood mula ditayangkan di AS pada 26 Julai lalu.

Lihat Komen
ADS