Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Campur tangan politik dalam keputusan penilaian memilih penerima Anugerah Sastera Negara (ASN) tidak wajar kerana ia hanya akan merosakkan sistem ekologi sastera.

Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) Dr Mohamad Saleeh Rahamad berkata hal-hal berkaitan sastera sepatutnya tidak boleh ditentukan oleh pemegang kuasa politik.

"Sistem sudah diwujudkan dengan jawatankuasa membuat pemilihan.

"Apabila sudah ada keputusan, kemudian mahu dirombak atas desakan lain, ini hanya satu lawak jenaka dalam dunia sastera dan dunia politik kita," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau memberikan kenyataan itu ketika ditanya mengenai desas-desus bahawa terdapat campur tangan politik dalam pemilihan penerima anugerah itu.

Keadaan itu didakwa menyebabkan penerimanya - yang akan bergelar Sasterawan Negara - belum diumumkan sehingga kini.

Pengumuman penerima anugerah sasterawan negara asalnya dijangka dibuat pada 26 Julai lalu selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun ia ditangguh atas sebab-sebab tertentu.

Sebelum ini sudah ada 13 sasterawan negara.

Saleeh bagaimanapun mengakui dia tidak tahu-menahu sama ada memang wujud campur tangan politik dalam pemilihan kali ini atau tidak.

Bagai sastera di negara komunis

Namun katanya jika benar wujud campur tangan sebegitu ia sangat tidak beretika.

Lebih daripada itu katanya ia juga akan terpahat dalam sejarah untuk dikenang sepanjang zaman.

"Ia akan diperkatakan sampai bila-bila," katanya.

Menurut Saleeh, kewujudan campur tangan politik dalam dunia sastera - jika berlaku - akan mengubah bidang itu pada masa depan.

"Situasi seperti ini akan berlarutan dan seterusnya jadi sastera di negara komunis.

"Ia suatu kecenderungan yang kita tak mahu berlaku," katanya.

Sementara itu Sasterawan Negara ke-13, Dr Zurinah Hasan, berkata panel pemilih yang dilantik wajar diberi kebebasan penuh untuk membuat penilaian.

Menurut Zurinah, pada masa sama panel terbabit harus berpendirian tegas semasa melaksanakan tugas masing-masing.

"Tak boleh ada campur tangan begitu. Inilah masalahnya kalau umum lewat.

"Ia mencetuskan macam-macam spekulasi sebab orang ramai tertanya-tanya, apa masalahnya tak umum lagi," katanya.

Sementara itu Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Abang Salehuddin Abang Shokeran, menafikan kelewatan pengumuman tersebut berpunca daripada campur tangan pihak luas.

Katanya panel penilai membuat keputusan berdasarkan merit dan bukan dipengaruhi oleh orang politik.

Abang Salehuddin Abang Shokeran

"Tak ada campur tangan politik.

"DBP selaku urus setia selalu diingatkan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik supaya melaksanakan pemilihan sasterawan negara secara profesional," katanya.

Tambah Abang Salehuddin, calon sasterawan negara dipilih mengikut beberapa kriteria yang ditetapkan.

"Sebab tu tak timbul sama sekali pemilihan itu ada kaitan agenda politik atau bangsa.

"Ia semata-mata berasaskan meritokrasi dengan menilai kepada karya yang dihasilkan serta pembabitan mereka dalam bidang persuratan yang memberi impak pada masyarakat," katanya.

Lihat Komen
ADS