Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Untuk memastikan tiada unsur yang boleh memesongkan akidah atau mencetuskan kontroversi, pengarah dan pelakon Opie Zami mendapatkan pandangan mufti Perak selepas menyiapkan naskhah terbarunya, Kron.

Menurutnya, pertemuan dengan Harussani Zakaria berlangsung selepas siap versi pertama, iaitu pada 2017.

Kata Opie, dia bimbang beberapa aksi seperti upacara ritual, mantera dan penggunaan ukiran tatu pada badan pelakon tidak akan mendapat kelulusan pihak Lembaga Penapis Filem (LPF).

“Saya nak minta pandangan adakah cerita ni boleh pesongkan akidah atau penonton boleh terpengaruh dengan persembahan ritual yang saya buat,” katanya.

Opie ditemui pada majlis pratonton filem Kron di sebuah kompleks beli-belah, Mutiara Damansara, Petaling Jaya hari ini.

Menurut Opie atau nama penuhnya Mohd Saufi Zami, maklum balas positif daripada Harrussani mengenai Kron membuatkan dia berasa lebih yakin untuk menghantar naskhah berkenaan bagi proses penapisan LPF.

“Mufti kata bacaan mantera yang kami persembahkan tak ada kena mengena dengan ilmu hitam mahupun cerita ada unsur mengajar atau mengalakkan ritual,” katanya.

Berlatarbelakangkan era Kedah Tua

Berlatarbelakangkan kisah kerajaan Kedah Tua yang menghantar bunga emas kepada Siam, filem genre fiksyen Kron menceritakan kehidupan seorang pengkaji sejarah iaitu Daud, watak dilakonkan Arman Graseka.

Daud menghabiskan sisa hidupnya menjejaki laluan Raja Siam yang digunakan untuk mengangkut bunga emas pemberian Sultan Kedah sekitar tahun 1803 hingga 1910.

Filem yang dijangka menjengah pawagam 22 Ogos ini membariskan pelakon seperti Zahiril Adzim, Dayana Roza, Mamak Puteh termasuk Opie.

Untuk rekod, Kron dihantar ke LPF dua minggu kemudian dan tiga babak “dinasihatkan LPF” supaya dikeluarkan iaitu potongan ayat suci al-Quran dan amalan solat kerana didapati tidak bersesuaian dengan tema fiksyen yang dibawakan.

Tak malu dengan CGI dihasilkan

Sementara itu, mengulas teknologi kesan khas CGI digunakannya, Opie, 45, mengaku ia tidak seberapa namun menganggap ia bukan sesuatu yang membuat dia berasa patut malu.

Bagi Opie, ia boleh dianggap permulaan awal untuk menghasilkan CGI yang lebih canggih pada masa depan.

“Jika tak buat sekarang, sampai bila baru nak berkembang, industri kita takat tu je lah," katanya.

Justeru, Opie berharap Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) membantu produksi kecil seperti Opie Global Pictures Sdn Bhd bagi mempromosi filem tempatan keluar negara selain mendapatkan nasihat berkenaan CGI.

“Fikirkan bagaimana nak bantu bawa filem anak tempatan keluar bagi mendapatkan pembiayaan.

“Kita tak perlu bina bangunan pencakar langit nombor satu di dunia, tapi cukup dengan hasil kerja yang mampu memperkenalkan Malaysia,” katanya.

Lihat Komen
ADS