Malaysiakini Seni & Hiburan

Caprice mohon maaf komen pasal Kelantan

Nadia Azam & Ramieza Wahid  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Penyanyi Caprice diselar ekoran membuat kenyataan menyinggung penduduk Kelantan dengan mendakwa masyarakat di negeri Cik Siti Wan Kembang itu sering terpalit hal-hal negatif.

Jurucakap Kumpulan Anak Kelantan Prihatin (KUKP), Norlida Daud berkata Caprice sewajarnya menjaga sensitiviti penduduk Kelantan apabila bercakap mengenai sesuatu isu.

“Apabila dia (Caprice) muat naik komen pasal orang Kelantan, ia akan mengundang pelbagai fitnah. Berhati-hati bila bercakap, dengan sensitiviti orang,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Menurut Norlida, sebagai seseorang yang disanjung tinggi dalam masyarakat, Caprice sewajarnya tidak membuat kenyataan yang menggalakkan rakyat Kelantan dipandang serong.

“Dia sebagai artis yang mempunyai ramai pengikut tidak wajar menggalakkan kenyataan negatif sebegini,” katanya.

Semalam, Kumpulan Anak Kelantan Prihatin membuat laporan polis susulan tersinggung dengan kenyataan Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli yang didakwa memperlekeh rakyat Kelantan.

Caprice sebelum ini dalam komen media sosial mendakwa kadar jenayah adalah paling tinggi di Kelantan.

Selain itu, dalam satu kiriman di Instagram, Caprice mempertikaikan kebolehan penduduk Kelantan memahami ceramah bahasa Inggeris Dr Zakir Naik di Stadium Sultan Muhammad IV.

Bagaimanapun, melalui semakan Malaysiakini hari ini, video berkenaan telah diturunkan oleh pihak Instagram. Namun salinan asal masih boleh dilihat di akaun IG Kelantan.

Norlida dalam kenyataan medianya menggesa pihak berkuasa menyiasat tindakan Caprice.

“Kami memohon pihak polis menyiasat apakah tujuan sebenar dia mengeluarkan kenyataan yang amat dangkal sedemikian dan mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya.

Sementara itu, ketika dihubungi Malaysiakini, Caprice memohon maaf kepada Kumpulan Anak Kelantan Prihatin yang terkilan berhubung kenyataannya.

“Saya minta maaf jika mereka terasa, tapi saya sifatkan IG Kelantan sebagai batu api, kerana mengambil video berkenaan tanpa meletakkan penafian (disclaimer),” katanya.

Tambah Caprice, rakyat Malaysia perlu bersatu dan tidak terlalu fokus mengenai polemik perkauman semata-mata.

“Kita tinggal dalam negara yang mempunyai masyakat berbilang kaum dan sepatutnya memahami antara satu sama lain. Tak perlu bangkitkan kemarahan Islam atau cetuskan sebarang isu rasis,” katanya.

Bagaimanapun, ketika dihubungi, Norlida enggan mengulas permohonaan maaf Caprice.