Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Panggung Rakyat kembalikan nostalgia seni silam
Diterbitkan:  Aug 19, 2019 6:34 PM
Dikemaskini: 10:34 AM

Program Panggung Rakyat di Jalan Raja Muda, Kuala Lumpur akan mengembalikan nostalgia hiburan, muzik dan joget tradisi tempatan serta adat dari 400 tahun dulu melalui acara yang akan diadakan sebulan sekali.

Inisiatif Agensi Pembangunan Ekonomi Kebudayaan (Cendana) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu akan bermula setiap Sabtu ketiga setiap bulan hingga penghujung tahun ini.

Lebih menarik, acara berkenaan dibuka secara percuma kepada orang ramai.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Cendana, Izan Satrina Mohd Sallehuddin, selepas hampir setahun pihaknya gembira dapat membawa seni berkenaan kepada masyarakat melalui Panggung Rakyat.

“Di Cendana, kami secara konsisten terlibat dalam panel penasihat, pihak berkepentingan dan komuniti seni bersama-sama meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kesenian dalam sejarah.

“Ini adalah cara baik untuk memastikan artis dan kumpulan seni, karya mereka, mencerminkan kisah kita, tradisi dan ritual kita dilihat, didengar, dihargai, dan dipromosikan ke khalayak yang lebih luas.

“Kami berbesar hati bekerjasama dengan DBKL untuk menyediakan platform kepada seni seperti makyung yang penuh dengan budaya, sejarah dan kaya makna untuk terus hidup melalui persembahan seperti ini,” katanya.

Acara kesenian dan kebudayaan awam itu dirasmikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad.

 

Persembahan pertama Panggung Rakyat yang dimulakan dengan tarian makyung - kesenian penting dan asli Malaysia bermula sejak 400 tahun lalu di Kelantan - mendapat sambutan hangat umum.

Persembahan itu dipimpin penari makyung bertaraf antarabangsa yang juga merupakan pengarah Fakulti Tarian Akademi Seni, Kebudayaan dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Persembahan tersebut turut mempamerkan tokoh makyung Unesco iaitu Fatimah Abdullah, tiga adiguru tua, seorang adiguru muda, dan seorang tokoh makyung Kelantan.

Cendana juga akan bekerjasama dengan organisasi seni dan kebudayaan tempatan seperti Pusaka dan Pusat Penyelidikan Seni Persembahan Nusantara (NusParc) untuk membawa persembahan seni yang tulen kepada rakyat Malaysia.

Persembahan dijangka diadakan di Jalan Raja dari jam 9 malam hingga 11 malam itu akan mempamerkan persembahan tradisional yang berbeza di Malaysia.

Jadual persembahan adalah seperti berikut:

  • Tarian Portugis - pada 21 Sept
  • Tarian ronggeng - 19 Nov
  • Kuda kepang - 16 Sept
  • Bhangra - 21 Dis.
Lihat Komen
ADS