Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Kak Limah' rayu jangan lupa bela nasib artis veteran

Terpilih sebagai calon akhir untuk anugerah berlandaskan populariti - selepas tiga dekad bergelumang dalam bidang seni - tidak sesekali membuatkan Delimawati Ismail lupa kepada rakan artis veteran yang kurang bernasib baik.

Kata bintang Hantu Kak Limah itu, meskipun dia berasa selesa dengan tahap dikecapi kini, hatinya tersentuh apabila memikirkan ada rakan artis yang tidak mendapat sebarang tawaran pekerjaan dan pada masa sama bergelut dalam masalah kewangan.

“Kadang-kala artis verteran ni ada yang nak belanja pun tak ada duit, kasihan. Justeru, sebagai wakil pada mereka, saya mohon agar kita sama-sama membela nasib artis-artis veteran.

“Tolonglah jaga kebajikan kami. Ada juga antara mereka ni yang tiada rumah,” katanya.

Delimati ditemui pada majlis pengumuman calon Top 5 Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 32 di sebuah hotel di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Buat julung kalinya, Delimawati menjadi calon bagi kategori Pelakon Filem Wanita Popular dan akan bersaing dengan nama-nama besar lain seperti Erra Fazira, Mira Filzah, Hannah Delisha dan Uqasha Senrose.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk penggiat seni pula, Delimawati berkata, dia kurang setuju dengan beberapa aspek dicadangkan.

Kena nilai dengan betul

Katanya, sekiranya skim tersebut dilaksanakan tanpa menerima caruman daripada majikan atau produksi yang menggaji, ia ibarat tidak membawa sebarang erti buat penggiat seni terutama mereka yang menerima pendapatan kecil.

“Sudahlah gaji ciput, kalau potong tinggal apa nanti? Yang ni saya tak galakkan. Lainlah kalau ada pencarum lain,” katanya.

Untuk rekod, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) melalui pengerusinya Gerald Hans Isaac mengumumkan pada 11 April lalu bakal melaksanakan kedua-dua skim berkenaan untuk pemain industri.

Pada masa sama, mengulas soal gaji, Delimawati berkata, sukar bagi seseorang pelakon untuk meningkatkan bayaran walaupun nama mereka sudah diiktiraf melalui anugerah berprestij.

“Di sini bukan macam Hollywood, lagi tua lagi mahal. Tapi kalau tuntut gaji mahal, langsung kami tak dipanggil berlakon dah esok.

“Kena tengoklah, kalau gaji ciput kena tolak tawaran tu. Kita ni kerja nak seronok dengan ikhlas hati. Dah sampai masa kita tak ambil gaji kecil. Biarlah berbaloi.

“Kita ni orang lama, mereka yang menilai kena tengok pada persembahan diberikan macam mana,” katanya.

Lihat Komen
ADS