Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Persatuan penulis selar acara sukan negara guna nama Inggeris
Diterbitkan:  Aug 22, 2019 9:43 AM
Dikemaskini: 7:07 AM

Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) menyelar kerajaan kerana menukar nama Hari Sukan Negara (HSN) kepada bahasa Inggeris, Malaysia Sports Challenge (MySC).

Presidennya, Dr Mohamad Saleeh Rahamad berkata, setiap program rasmi kerajaan sepatutnya menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

“Menjelang sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-62, Malaysia semakin lemah dalam mempertahankan kedudukan bahasa Melayu dalam perlembagaan.

“Malaysia Sports Challenge boleh saja disebut Cabaran Sukan Malaysia atau Tantangan Sukan Negara atau sebarang nama lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim mengumumkan hari sukan yang disambut setiap tahun bermula tahun 2015, ditukar kepada nama baru iaitu MySC bermula tahun ini.

Bagaimanapun, Sim tidak melihat penggunaan perkataan MySC sebagai satu tindakan merendahkan martabat bahasa Melayu.

Menurut beliau, penjenamaan semula oleh Putrajaya itu bertujuan memperluaskan capaian program yang merupakan inisiatif terbaru Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bersukan.

Sim juga berkata, penggunaan nama dalam bahasa Inggeris sebenarnya mampu meningkatkan prestij program berkenaan dalam kalangan penggiat sukan tempatan selain sektor sukan antarabangsa.

Saleeh berkata, hak untuk bahasa Melayu tidak harus dinafikan meskipun MySC meletakkan sasaran sebanyak lima juta penyertaan melibatkan semua peringkat umur, gender dan kepelbagaian program berbanding HSN yang hanya menyasarkan dua juta orang.

Justeru, Saleeh berkata, Pena menggesa MySC ditukar dalam bahasa Melayu sebagai penggunaan rasmi negara manakala penggunaan bagi peringkat antarabangsa yang bukan rasmi boleh digunakan bahasa lain.

Beliau mengingatkan supaya kerajaan tidak menambah kehangatan dalam negara ketika suasana negara sedang tegang dengan polemik perkauman.

“Sedangkan pergeseran antara kaum sudah semakin tegang sangat tidak wajar kerajaan mencabar sensitiviti para nasionalis lagi.

“Nampaknya kini semua rejim mahu menggoncang perlembagaan sedangkan rakyat yang setia bersusah mempertahankannya.

“Jika semasa rejim terdahulu menggunakan nama Fit Malaysia kini rejim baru pula menggunakan Malaysia Sports Challenge. Kerajaan sendiri merosakkan negara ini,” katanya.


Lihat Komen
ADS