Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Fikir mati, Safiey Ilias buang silikon di dada
Diterbitkan:  Aug 26, 2019 6:31 PM
Dikemaskini: 10:43 AM

Berfikir tentang kematian dan hari akhirat mendorong usahawan kosmetik, Mohd Safiuddin Ilias, 25 membuang implan silikon di dadanya buat kali kedua.

Menerusi Facebook, dia yang lebih dikenali sebagai Safiey Ilias memberitahu selamat menjalani pembedahan tersebut di Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini.

Safiey juga menjelaskan dia nekad bertindak demikian demi mendapatkan reda kedua orang tuanya.

"Alhamdulillah. Maaf mungkin jarang update baru selesai buang implan silikon. Ayah suruh, saya turuti.

"Saya fikir esok mati macam mana. Saya buat demi reda Allah dan mak ayah," katanya menerusi Facebook.

Kali pertama Safiey membuang implan di dada ialah pada tiga tahun lalu sebelum memutuskan untuk kembali menjadi maknyah.

Menurut Safiey, ada kalangan rakannya menghalang dia berbuat demikian, namun usahawan itu lebih bimbang mendapat balasan buruk di akhirat kelak.

"Kawan ada juga yang halang, tapi nanti di akhirat saya yang kena jawab, bukan kawan saya," katanya.

Tambahnya, dia kini lemah selepas menjalani pembedahan dan berharap orang ramai mendoakannya agar cepat sembuh.

"Saya tak boleh nak tulis panjang-panjang sebab sakit.

"Semoga setiap darah yang menitik semasa di bilik bedah adalah darah syahid. Amin. Doakan saya cepat sembuh. Sakit longlai. Badan lemah.

"Salam Maal HIjrah yang akan datang tidak lama lagi," katanya.

Pada April 2016, Safiey melakukan pembedahan sama untuk kembali kepada fitrah sebagai lelaki.

Ekoran perubahan itu Menteri di Jabatan perdana Menteri ketika itu, Jamil Khir Baharom meminta golongan transgender mengikut jejak langkah yang sama.

Namun tidak lama selepas itu Safiey mencipta kejutan apabila menjadi 'wanita' semula dengan memuat naik gambar berpakaian wanita di media sosial.

Safiey pada masa itu menjelaskan dia lebih tenang kerana tidak perlu berpura-pura menjadi baik.

Lihat Komen
ADS