Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Macam mana boleh kata Pawana Isabella rasis, tanya Erma Fatima

Jangan buat kerja gila - itu harapan pengarah teater Pawana Isabella, Erma Fatima.

Kenyataan itu dibuat ketika teater yang sedang dipentaskan di Istana Budaya, Kuala Lumpur, itu didakwa bersifat rasis kerana menyentuh isu perkauman.

Hal itu dinyatakan sesetengah pihak yang sudah menyaksikan persembahan berkenaan.

Menurut Erma Fatima, tidak wajar mana-mana pihak mempolitikkan naskhah berkenaan kerana hasrat sebenar dia mengketengahkan teater berkenaan langsung tidak mempunyai kaitan dengan kaum Cina mahupun India.

"Macam mana boleh kata teater tu rasis?

"Pawana Isabella menceritakan kisah di sebuah negara antah berantah, tak ada sentuh isu Cina atau India di negara ni.

"Jangan buat kerja gila kontroversikan perkara tak sepatutnya," kata Erma Fatima kepada Malaysiakini semalam.

Pawana Isabella berkisahkan perjuangan suatu kaum dikenali sebagai Malayu di negeri Aksara. Pada suatu ketika mereka bangkit menentang penindasan yang berlaku akibat pendatang haram di negeri berkenaan.

Teater berkenaan diwarnai dengan pelbagai konflik yang berpunca daripada isu penindasan, tamak haloba, pentingkan diri sendiri dan makan suap.

Tidak semua orang suka

Antara pelakon yang menjayakannya ialah Janna Nick, Syafiq Kyle, Afdlin Shauki dan Azar Azmi itu. Ia dipentaskan sehingga 31 Ogos.

Erma Fatima sebelum ini pernah menyatakan naskhah itu bukan berniat untuk menjatuhkan orang Melayu, sebaliknya hanya ingin menyampaikan teladan agar mereka tidak menjadi kaum yang hanya menanti untuk disuap.

Erma Fatima, 51, hanya berkata jika seseorang melihat teater itu dari sudut negatif dengan isu semasa, memang ia mungkin boleh dianggap rasis.

"Tolong jangan politikkan karya saya," katanya.


Baca Erma Fatima 'tunggu' Syed Saddiq jenguk Pawana Isabella


Ditanya jika karya berkenaan dianggap sesetengah pihak sebagai tidak sesuai dipentaskan semasa bulan kemerdekaan, Erma Fatima berkata, dia berlapang dada dengan tanggapan tersebut.

Kata pemilik nama penuh Fatimah Rahmad itu, dia tidak boleh memuaskan hati semua orang pada semua masa.

"Tak semua orang suka karya saya, dan tak semua orang tak suka karya saya.

"Jadi saya tak boleh paksa orang terima apa saya nak sampaikan," katanya.

Menurut Erma Fatima, hanya yang berfikiran terbuka sewaktu menonton akan memahami isi kandungan yang cuba disampaikan itu.

"Ada orang boleh buka minda. Kalau kita sempitkan fikiran sewaktu menonton, maka negatiflah yang kita dapat," katanya.

Lihat Komen
ADS