Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Dalam panas isu kaum Sufian rindu harmoni silam

Pernah menjalin hubungan akrab dengan rakan berbeza kaum dan pelbagai agama, penyanyi Sufian Suhaimi meluahkan rasa rindunya untuk kembali melalui pengalaman sewaktu dia membesar di Mersing, Johor dulu.

Kata Sufian, dia sedih apabila melihat keharmonian negara baru-baru ini cuba digoncang gara-gara pelbagai kenyataan berbaur perkauman sering dikeluarkan pihak tertentu.

Justeru, menurut penyanyi Di Matamu itu, harapannya sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-62 semalam ialah untuk melihat semua bangsa berbaik-baik dan hidup harmoni dalam negara ini.

"Saya sedih apabila banyak timbul isu menyentuh sensitiviti yang memecah-belahkan rakyat Malaysia ketika ini.

"Sedangkan sewaktu membesar di Mersing saya berkawan dengan kawan-kawan dari pelbagai kaum malah antara paling rapat dan sampai pernah tidur di rumah seorang kawan berbangsa Cina.

"Melihat situasi dalam negara sekarang membuatkan saya merindui zaman kecil dulu," katanya.

Sufian ditemui pada majlis pelancaran single terbarunya Takkan Merubah. Karya itu merupakan duet bersama Amira Othman.

Menuru Sufian, 27, dia ingin melihat keharmonian berulang sempena Hari Kemerdekaan.

"Harap sangat dapat kembalikan semangat tu," katanya.

Bagi penyanyi yang turut popular dengan lagu Mencuba itu, erti kemerdekaan sebenar bagi seseorang ialah apabila jiwa mereka berasa merdeka dengan perasaan kesatuan antara kaum.

"Perlu ada rasa sayang antara satu sama lain tanpa melihat perbezaan atau warna kulit.

"Dengan berkongsi rasa kesatuan, kita juga berkongsi cinta yang sama selain dapat timbulkan hormat pada Jalur Gemilang," katanya.

Pada masa sama, Sufian berkata, rakyat Malaysia sewajarnya bersama-sama menyebarkan apa saja unsur positif di antara satu sama lain.

"Masyarakat boleh menyumbang perkara positif bagi mendidik generasi lebih muda sayangkan dan cinta negara melalui media sosial.

"Ini tanggungjawab kita semua bersama," katanya.

Lihat Komen
ADS