Paling Popular
Terkini

Selepas tercetusnya pelbagai spekulasi, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini mengumumkan, penulis, penyair dan pelukis, Prof Dr Siti Zainon Ismail, sebagai penerima Anugerah Sastera Negara ke-14.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malek berkata, pemilihan Siti Zainon yang membawa gelaran Sasterawan Negara itu dibuat berdasarkan sumbangan beliau melalui karya, pemikiran dan sumbangan terhadap pengembangan sastera.

“Lantikan dibuat selepas panel bersetuju dengan nasihat sasterawan negara lain.

"Kita tak ketepikan pandangan sasterawan lain. Maka panel akhirnya memilih Siti Zainon Ismail sebagai penerima Anugerah Sastera Negara ke-14,” katanya dalam sidang media di KPM sebentar tadi.

Maszlee berkata, selain itu, pelantikan turut dibuat berdasarkan penglibatan Siti Zainon dalam penyebaran ilmu, kepimpinan dalam persatuan sastera, impak pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta penghargaan dan pengiktirafan yang sudah diterima beliau.

"Gelaran tersebut juga melayakkan Siti Zainon menerima warkah penghormatan negara, wang tunai RM60,000, hak penerbitan sebanyak 50,000 naskhah buku atau nilai harga buku maksimum berjumlah RM500,000 untuk dibeli kerajaan dan disebarkan ke sekolah, perpustakaan, jabatan dan agensi kerajaan.

"Siti Zainon juga akan menerima kemudahan perubatan percuma dalam wad kelas satu di mana-mana hospital kerajaan, kemudahan untuk kegiatan mencipta karya sastera, kemudahan untuk penerbitan karya, perterjemahan karya yang sesuai dalam bahasa asing dan elaun sara hidup sebanyak RM5,000 sebulan," katanya.

Kali terakhir gelaran itu diumumkan pada 2015 kepada Dr Zurinah Hassan. Zurinah merupakan wanita pertama menyandang gelaran berkenaan.

Terdahulu, pengumuman Sasterawan Negara menjadi isu bagi pihak tertentu apabila ia dikatakan ditunda atas sebab-sebab politik.

Bagaimanapun, Maszlee berkata tarikh berkenaan tidak lebih daripada sekadar jangkaan waktu yang diberikan secara umum.

Hasil karya Siti Zainon

Dilahirkan pada 18 Disember 1949, Siti Zainon setakat ini sudah menghasilkan tiga novel, 10 kumpulan cerpen, 25 kumpulan puisi, tujuh antologi cerpen dan lima antologi puisi.

Anak kelahiran Gombak, Kuala Lumpur itu turut menghasilkan 18 buku kajian ilmiah, 21 esei kajian dalam buku, 21 esei monograf, jurnal, dokumentasi dan majalah katalog.

Beliau juga pernah mewakili negara dalam pameran lukisan selain menjadi Ahli Lembaga Pengarah di Balai Seni Lukis Negara dan Yayasan Kesenian Perak dari 2003 hingga 2005.

Siti Zainon sebelum ini turut mendapat pengiktirafan dalam negara, apabila beliau berjaya memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia sebanyak enam kali, Anugerah Budayawan Selangor, Anugerah Tokoh Seni Budaya, Penghargaan Usaha Seni Tan Sri Fatimah-Avon, dan Pingat Seri Mahkota Selangor.

Usaha gigih beliau dalam bidang kesusasteraan turut diiktiraf di peringkat antarabangsa, apabila memenangi Sea Write Award (1989), Tokoh Anugerah Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia- Anugerah Tokoh Seni Budaya (2015), Hadiah Sketsa Kartini, Penghargaan Seni Seoul Country Club, Korea Selatan, Gelaran Teuku Chut Nyak Fakinah dan Anugerah Profesor Luar Biasa Universitas Jabat Ghafur Aceh.

Majlis Pengurniaan Anugerah Sastera Negara ke-14 akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 21 September ini di Hotel Istana, Kuala Lumpur.

Lihat Komen
ADS