Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Kalah atau menang adat pertandingan, justeru Farawahida menyifatkan penyingkirannya pada pertandingan nyanyian Golden Memories Asia 2019 (Gomes), di Indonesia sebagai bermaruah.

"Saingan sengit, semua bagus. Tapi saya rasa tersingkirnya saya bermaruah melihat daripada komen positif daripada Soimah dan komentator yang lain.

"Saya okay saja. Tapi biasalah, adat pertandingan," katanya kepada wartawan Malaysiakini menerusi pesanan ringkas Instagram.

Soimah memberi komen bahawa Fara mempunyai tona suara yang cantik ketika menyanyikan lagu bernada tinggi, namun nasib tidak menyebelahi pelantun lagu Hilangkan Segalanya ini.

"Saya suka mendengar Fara menyanyikan lagu dengan nada-nada tinggi. Penampilannya sudah sesuai dengan lagu. Orangnya cantik. Suaranya juga cantik. Warna vokalnya saya suka," kata komentator dari Indonesia itu.

Fara yang membawa lagu Tiada Lagi nyanyian asal Mayangsari berada pada senarai terendah hanya dengan jumlah markah terkumpul 515 berbanding penyanyi lain Lucky-526 (Indonesia), Hanita-526 (Singapura) dan Cidalia-524 (Timor Leste).

Fara atau nama sebenarnya Farawahida Razali berkata dia bangga kerana telah memberikan yang terbaik untuk dipersembahkan kerana Gomes merupakan pentas yang diimpikan selama ini.

"Saya bangga, saya dah buat yang terbaik di pentas yang menjadi impian saya selama ini.

"Saya (juga) bersyukur dan bangga bila kebanyakan komentator suka dengan bakat yang dianugerahkan Allah," katanya yang juga pernah menjadi salah seorang peserta Gegar Vaganza 5 2018.

Gomes 2019 merupakan pertandingan realiti televisyen Indonesia memerlukan peserta menyanyikan lagu-lagu nostalgia di era tahun 1980 hingga 1990an.

Pertandingan itu diwakili oleh 24 peserta dari enam negara Asia antaranya Malaysia, Singapura, Filipina, Timor Leste, Brunei Darussalam dan Indonesia.

Penyanyi lain dari Malaysia yang menjadi wakil ke pertandingan tersebut adalah Akma AF3, Mohd Azim dan Shah Iran.

Lihat Komen
ADS