Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tanpa pendedahan meluas, dikhuatiri golongan muda di Kelantan tidak akan mengenali ciri-ciri khusus seni tradisional warisan Melayu yang membezakan antara makyung dan tarian-tarian lain pada masa depan.

Pak Yong Negara, Rosnan Rahman, berkata berdasar pemerhatiannya, dianggarkan sebahagian besar golongan muda di negeri Cik Siti Wan Kembang tidak mengenali kombinasi kesenian makyung yang menggabungkan beberapa elemen tari itu.

“Sampai sekarang, generasi muda Kelantan keliru mana satu makyung dan mana satu menora,” katanya kepada Malaysiakini.

Kata Rosnan, perkara seperti itu tidak seharusnya berlaku malah amat mendukacitakan pejuang makyung sepertinya.

“Apabila orang Kelantan sendiri tak kenal kesenian mereka, itu amat menyedihkan. Sedangkan pada masa sama, orang luar mengangkat persembahan tradisional Kelantan itu,” katanya.

Rosnan ditemui pada sidang media pengumuman teater Makyung Raja Besar Maha Gading di Istana Budaya (IB) baru-baru ini.

Selain Rosnan, teater yang dijadual dipentaskan mulai 11 hingga 13 Oktober di Panggung Sari IB itu juga menampilkan pelakon seperti Nad Zainal, Naque Ariffin, Izzue Islam, Chekem dan Romli Abdullah.

Kelantan dan Siam

Naskhah itu berkisahkan Raja Besar Maha Gading menyuruh Wak Nujum menilik nasib seramai tujuh anaknya bagi menentukan siapa paling sesuai menaiki takhta suatu hari nanti.

Makyung dikenali sebagai satu tarian Melayu yang unik dan mempunyai sifat halus. Ia merupakan hasil gabungan unsur-unsur tarian, muzik, drama dan komedi yang dipentaskan secara teater keliling.

Hasil usaha dan kerjasama pemuliharaan oleh kerajaan melayakkan makyung diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco) sebagai Warisan Seni Dunia pada 25 November 2005.

Menjelaskan lebih lanjut Rosnan berkata, bagi membezakan di antara makyung dan menora, golongan muda disarankan memerhati dari beberapa sudut.

“Jalan penceritaan makyung dan menora amat berbeza. Terdapat juga perbezaan dari segi pakaian, lagu dan watak penceritaan.

“Untuk penggunaan bahasa, makyung menggunakan dialek Kelantan manakala menora, Siam. Makyung juga tidak menggunakan akesori kuku panjang seperti menora,” katanya.

Namun, katanya, kedua-dua persembahan berkenaan berbeza dengan main puteri - atau main tteri - yang digunakan untuk tujuan perubatan.

Ketika ini, kata Rosnan, persembahan makyung masih boleh diamalkan di Kelantan namun perlu memenuhi syarat patuh syariah seperti ditetapkan kerajaan negeri.

“Apa mereka tetapkan kami tak boleh kompromi. Kami tak ada masalah asalkan kerajaan persekutuan dan PAS ada persefahaman untuk pastikan kesenian ni tak mati.

“Yang penting, makyung terus dilestarikan untuk kebaikan bersama, kerana jika tidak, negara lain sudah mula mempersembahkan warisan tradisional kita di tempat mereka,” katanya.

Lihat Komen
ADS