Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan

PH mempunyai tugas berat untuk dilaksanakan sekarang sekiranya parti komponen itu ingin mengulang kejayaan lalu dan kekal memegang tampuk pemerintahan pada Pilihan Raya ke-15 (PRU15), tahun 2023 nanti.

Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad berkata, PH bakal berdepan rintangan lebih hebat pada pilihan raya akan datang kerana bukan mudah untuk terus memperoleh kepercayaan rakyat buat kali kedua.

“Dalam pilihan raya lalu, yang menjadi isu utama ialah bekas perdana menteri, Najib Razak. Namun, pada PRU15, situasi tak akan sama.

“Rakyat akan menguji prestasi PH, dan hal itu tak akan menjadi tugas yang senang. 

"Biasanya kali kedua tak pernah mudah,” kata beliau.

Dr Mahathir ditemui pada Malam Gala filem dokumentari M for Malaysia di kompleks beli-belah Pavilion, Kuala Lumpur malam tadi.

Turut hadir, isteri perdana menteri, Siti Hasmah Mohamad Ali.

Menurut Dr Mahathir, M for Malaysia berupaya menjadi satu peringatan kepada PH terhadap apa yang diperjuangkan selama ini.

Beliau menyifatkan M for Malaysia sebagai kisah benar perjuangan PH menewaskan BN untuk membentuk Malaysia Baru sewaktu kempen Pilihan Raya ke-14 (PRU14).

“Filem ni ialah sebuah kisah benar yang tak sampaikan kisah hanya satu belah pihak. 

"Ia beri pengajaran kepada semua bahawa anda perlu bersabar dengan kritikan, sepertimana anda suka dipuji,” katanya.

Karya itu membawa penonton menyaksikan bagaimana Dr Mahathir kembali sebagai sebagai perdana menteri Malaysia buat kali kedua selepas menumbangkan BN yang memerintah selama 61 tahun.

Filem berdurasi 90 minit ini berkisahkan harapan, perpaduan dan perdamaian sehingga wujudnya parti komponen PH itu diarahkan anak taikun hartanah, Lee Kim Yew, Dian Lee dan cucu Dr Mahathir, Ineza Roussille (gambar, bawah).

Filem tersebut menggunakan lagu nyanyian Yuna, Bermula Kita sebagai runut bunyi.

M for Malaysia bakal ditayangkan selama empat hari bermula esok di 37 panggung terpilih di seluruh negara. Selain itu, ia juga akan ditayangkan di Festival Antarabangsa Busan, di Korea Selatan, pada 3 Oktober ini.

Terdahulu, Malaysiakini menyiarkan anak sulung Mahathir - yang juga penerbit filem berkenaan - Marina, berkata penghasilan M For Malaysia berilhamkan perubahan kuasa yang berlaku secara aman pada PRU14.

Sementara itu, tukang masak terkenal, Redzuawan Ismail atau Chef Wan berkata, M for Malaysia menunjukkan bagaimana perbezaan warna kulit dan agama harus diketepikan supaya negara terhindar daripada konflik etnik atau ras.

“Pada akhirnya, tak kisah apa warna kulit seseorang, tapi kita semua boleh bersatu,” katanya.

Kata Chef Wan, 61, karya itu menarik kerana memaparkan sikap positif pemimpin dalam memaafkan seteru mereka.

“Yang penting pemimpin-pemimpin mesti utamakan rakyat dulu. Bersatu teguh, bercerai roboh. Ini kekuatan yang saya tengok ada dalam filem ni,” katanya.

Penyanyi Ning Baizura pula berkata, M for Malaysia menyorot adegan-adegan nyata di sebalik tabir sewaktu PRU14 berlangsung yang tak pernah dilihat sebelum ini.

“Bermula dari persediaan hingga ke hari kemuncak PRU14, semua ni dipaparkan. Saya juga kagum dengan pengorbanan dilakukan Dr Mahathir di kala usia beliau yang mencecah 93 tahun ketika itu.

“Saya juga bimbang, negara tak akan ada lagi pemimpin seperti Dr Mahathir di masa akan datang. Beliau seorang yang cukup istimewa,” katanya.

Lihat Komen
ADS