Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

ULASAN FILEM | Tidak aneh untuk seseorang berasa gerun sekali gus hormat kepada tokoh yang disanjung sebagai negarawan ulung ketika usianya mencecah 94 tahun seperti Dr Mahathir Mohamad.

Pencapaian rekod luar biasa perdana menteri itu dalam mengurus hal berkaitan negara dan memperjuangkan isu-isu keamanan serta keharmonian sejagat menambah kewibawaan beliau sebagai tokoh disegani oleh pemimpin negara dunia.

Namun, adakah sesiapa pernah cuba-cuba bertanya: bagaimanakah sikap sebenar pemimpin yang berdiri di sebalik imej berani, sinikal, petah berucap serta bijak menangkis hujah-hujah panas pihak pembangkang yang dipaparkan selama ini?

Kalau menonton filem dokumentari M For Malaysia, mungkin anda akan jumpa jawapannya.

Meskipun sebahagian besar filem ini menceritakan bagaimana bermulanya pembentukan Malaysia Baru yang tidak dijangka blok pembangkang - hinggalah PH bertukar nasib menjadi kerajaan - M For Malaysia dilihat cuba menyentuh hati penonton dengan memperlihatkan sisi berbeza Mahathir.

Melaluinya penonton menyaksikan Mahathir dalam ruang lebih peribadi - namun sentiasa menghiburkan - iaitu sebagai seorang suami dan datuk.

Selain sifat-sifat disebut tadi, keperibadian Mahathir dilihat amat berbeza sewaktu beliau berada di samping isteri, Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan cucunya - yang juga pengarah M For Malaysia - Ineza Roussille.

Dua-dua watak kelakar

Manja, pemalu dan kadang-kadang seperti keanak-anakan - mungkin itulah yang boleh disifatkan Mahathir sebagai Mahathir.

Hal itu boleh dilihat ketika beliau duduk semeja bersama anak sulungnya yang juga aktivis sosial, Marina,dan Ineza sambil mereka menjamah juadah di rumah.

“Kamu ambil gambar saya dengan mulut ternganga luas dan makanan (masih) belum dihadam,” kata Mahathir pada Ineza dalam salah satu babak itu.

Kemudian, pada satu babak yang lain, Mahathir bergurau mesra sambil menjelir lidah, sekali gus memperlihatkan wajah keanak-anakannya pada Ineza sewaktu menghampiri kenderaannya.

Pada ketika itu, Mahathir sedang bertanyakan mengenai rakaman yang dibuat Ineza.

Bercakap kepada Malaysiakini, Ineza menyifatkan Mahathir sebagai seorang lelaki yang lebih gemar menghabiskan masa bersama keluarga, malah suka bergurau-senda dengan cucu-cucunya.

“Apabila kami duduk bersama beramai-ramai, tak pernah bincangkan hal-hal politik.

"Saya lihat dia seorang yang sangat kelakar, begitu juga Siti Hasmah,” katanya ketika ditemui pada malam gala filem berkenaan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ada boleh diperbaiki

Selain Mahathir dan detik-detik tumbangnya BN sebagai kerajaan perhatian juga bertumpu pada Siti Hasmah - seorang wanita yang dilihat selalu berdiri teguh di sisi suaminya.

Antara babak menarik boleh dikongsikan ialah sewaktu Siti Hasmah memeluk erat suaminya. Pada babak sama itu juga terkeluarlah sifat pemalu seorang Mahathir.

Dr Mahathir: Tak nak orang tahu kisah peribadi kita (sambil cuba meleraikan pelukan Siti Hasmah dan pada masa sama sengaja berpura-pura garang).

Siti Hasmah: Saya mahu semua orang tahu (sambil terus memeluk dan tidak mengendahkan permintaan suaminya).

Meskipun dihasilkan untuk meraikan kejayaan dan ketabahan rakyat menukar kerajaan secara demokrasi, M For Malaysia tidak lokek mempamerkan nilai kasih sayang anak-beranak.

M For Malaysia memulakan tayangannya di 37 pawagam terpilih selama empat hari mulai semalam. Dian Lee merupakan seorang lagi sutradara yang mengusahakan filem berkenaan.

Latar penceritaan bermula dari kisah himpunan Bersih pada 2015, isu skandal 1MDB hingga memasuki fasa Mahathir sebagai pemimpin Bersatu, bergabung dengan DAP, PKR dan Amanah untuk membentuk kerajaan PH.

Naskhah berdurasi 90 minit itu juga memaparkan momen terbentuknya Malaysia Baru selepas Mahathir mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ketujuh.

Cuma tak sedap mata memandang apabila menonton babak wawancara bersama tokoh-tokoh terpilih seperti Lim Kit Siang, Fahmi Fadzil, Rafidah Aziz atau Dr Wan Azizah Wan Ismail kerana jawatan yang dirujuk kepada mereka masih sebagai "pembangkang".

Ini mungkin boleh diperbaiki agar tiada kekeliruan buat penonton di luar Malaysia.

Secara keseluruhan, filem yang mendokumenkan beberapa aspek realiti bertujuan antaranya menceritakan sejarah dan buatan Malaysia seperti ini berjaya mengubah persepsi bahawa karya bukan cereka tidak semuanya membosankan.

Lihat Komen
ADS