Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Stesen TV, radio perlu selalu siar lagu patriotik - Habsah Hasan

Lirik dan lagu bercorak kenegaraan perlu sering diputarkan oleh media elektronik seperti televisyen dan radio supaya dapat 'membangkitkan' semula semangat patriotik dalam kalangan masyarakat, kata penulis lirik lagu terkenal Habsah Hassan.

Beliau berkata medium tersebut berperanan penting dalam memainkan dan mengetengahkan lagu-lagu patriotik bagi memupuk perasaan cintakan tanah air, terutamanya kepada generasi muda.

“Macam kita pernah dengar lagu masa zaman Jamaluddin Alias seperti ‘Inilah Barisan Kita’ atau ‘Jalur Gemilang’ dan saya kalau dengar lagu-lagu ini dalam usia begini, saya pun bersemangat juga.

"Maka, lagu sebegini hendaklah sering diputarkan atau dimainkan agar selalu didengari. Jadi kalau kita tak suka pun kita akan terikut-ikut juga (menyanyi)," kata penulis lirik lagu patriotik berjudul ‘Setia’ itu, kepada Bernama.

Habsah, 70, turut meluahkan kekecewaannya apabila semangat kenegaraan anak-anak muda semakin ‘pudar’ hanya kerana terlalu mengikut peredaran atau perubahan masa sehingga ‘menghilangkan’ semangat jati diri dan negara.

“Anak-anak muda zaman sekarang kurang perasaan kecintaan (kepada negara) tetapi mahu menyalahkan mereka juga tidak boleh. Apapun, kita kena kembali kepada pendidikan di sekolah, pencampuran (atau pergaulan) dengan masyarakat dan keluarga.

“Macam saya sejak sekolah lagi, saya dah berkobar-kobar. Saya boleh bergaduh dengan kawan saya sebab dia pijak bendera. Jadi saya rasa perasaan ini boleh dinaikkan semula dengan kita kembali kepada asas.

“...tetapi saya rasa banyak benda yang bagus yang kita buat zaman dahulu dan kita tinggalkan hanya semata-mata mengikut peredaran dan saya rasa peredaran yang kita ikut ini telah menghilangkan banyak benda yang bagus,” katanya yang sudah berkecimpung dalam industri muzik lebih 40 tahun.

Dalam perkembangan lain, mengulas berkenaan penciptaan lirik lagu tempatan yang kebanyakan dicampur aduk dengan pelbagai bahasa, beliau berkata bahasa kebangsaan tidak wajar 'digadaikan' keistimewaannya walaupun setiap penulis lirik lagu sekadar hanya berkarya untuk mengikut trend.

“Saya memahami industri muzik ini sering mengalami perubahan atau trend tertentu tetapi apa pun perubahan yang berlaku, kita tidak boleh terlalu bertolak ansur dengan menggadaikan keistimewaan bahasa kita,” kata penulis lirik lagu ‘Salam Terakhir’ dendangan Allahyarham Datuk Sudirman Arshad itu.

Bagaimanapun, Habsah berkata penggunaan campur aduk bahasa dalam sesebuah lirik dan lagu boleh dikecualikan sekiranya penghasilan seni itu berunsur komedi atau ingin menyampaikan sindiran.

“Kalau ada lagu tertentu memang berniat komedi atau untuk menyindir jadi penggunaan bahasa dalam lagu itu adalah sebagai sebuah sindiran…kita boleh maafkan. Contohnya, lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee iaitu ‘Dengarlah ini cerita’ ada unsur komedi di situ dan digunakan bahasa itu sebagai satu penceritaan.

“Sekiranya, kita sengaja campur adukkan bahasa dalam ayat lirik yang (genre) biasa itu tidak kena pada tempatnya…tetapi kalau perlu kita menggunakan bahasa asing dalam lirik kita biarlah ada satu keperluan kepada lirik kita, bukan saja nak tambah,” tambahnya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS