Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

ULASAN | Penulis merasakan pelakon Nur Fazura memang sesuai untuk membawakan watak utama filem Dendam Pontianak.

Raut wajah dimiliki Fazura mungkin boleh membuat mana-mana penonton terus terpaku di tempat duduk masing-masing untuk terus menonton filem berkenaan sehingga selesai.

Menurut Fazura, kisah pontianak kali ini membawa pendekatan hantu yang berlainan daripada biasa.

“Hantu tidak semestinya memakai baju putih dan mempunyai solekan wajah gerun,” katanya ketika ditemui pada majlis pratonton Dendam Pontianak di kompleks beli-belah, Mutiara Damansara baru-baru ini.

Sebagai pelengkap kisah suspens - romantik itu, Fazura pula digandingkan dengan aktor yang menjadi idaman segelintir wanita, Remy Ishak.

Lantaran itu, pontianak ini tetap kelihatan cantik walaupun selepas memaparkan aksi membunuh mangsa-mangsanya.

Pada latar waktu era tahun 1965, Mina, watak pontianak dipegang oleh Fazura, menyimpan dendam terhadap bekas kekasihnya Khalid (Remy).

Ada impian Mina yang gagal terlaksana di tengah jalan membuatkan pontianak itu bangkit dan kemudian menghuru-harakan penduduk kampung.

Namun, jika disingkap jalan cerita Dendam Pontianak, penulis berasakan filem ini seakan tidak ada bezanya dengan filem-filem pontianak sebelum ini.

Penulis juga teringat cerita Pontianak Harum Sundal Malam, karya disutradarai pengarah Suhaimi Baba yang pernah ‘menghantui’ penonton pada tahun 2004 lalu.

Terdapat babak filem dimana terjadi pada zaman lampau iaitu Meriam lakonan Maya Karin yang dijumpai mati ketika hamil anak sulungnya dan ingin membalas dendam kepada pembunuhnya.

Klise bukan? Ya jalan cerita filem ini juga hampir sama seperti tepat pada judul filem itu sendiri.

Tambahan pula, pemilihan lagu Kasihku Selamanya nyanyian Siti Nurhaliza kurang memberi impak gerun kepada filem tersebut berbanding lagu Pulangkan yang dialunkan oleh Misha Omar dalam filem Pontianak Harum Sundal Malam.

Selain itu, imej Mina pada penghujung cerita membuatkan fikiran penulis mengimbau watak filem komedi - seram Hantu Kak Limah, arahan Mamat Khalid.

Mengenai dialog dalam Dendam Pontianak, penulis merasakan ia tidak digarap secara realisme berdasarkan latar waktunya pada era 1960-an.

Pengarahnya, Gleen Goei dan Gavin Yap menjelaskan ada sebab tertentu mengapa mereka tidak menggunakan sebutan bahasa seperti yang sepatutnya di era tersebut.

“Kami tak gunakan bahasa itu kerana tak mahu penonton keliru. Kami nak semua generasi dapat tonton filem ini selain cuma mahu mengambil mood era berkenaan,” katanya.

Namun, pujian diberikan untuk busana pakaian dan set penggambaran yang berjaya menimbulkan suasana ala 60-an.

Di sebalik kisah seram Dendam Pontianak, tersulam unsur romantik serta nilai kekeluargaan yang tinggi.

Ini dapat dilihat melalui babak kasih sayang Pontianak Mina (lakonan Fazura) yang juga merupakan seorang ibu kepada anaknya yang dilakonkan oleh Nik Harraz Danish.

Kasih sayang luhur seorang ibu kepada anaknya itu dapat dilihat melalui babak Mina yang begitu menyayangi anaknya sehingga sanggup melepaskannya kepada Siti (lakonan Shenthy Feliziana) untuk dijaga.

Mina turut rela dipaku oleh Siti supaya dapat bebas untuk ke dunia abadi.

Watak Pak Din Su’ut iaitu lakonan Namrom sebagai dukun pula membawa warna dalam cerita tersebut. 

Ini dapat disaksikan apabila Pak Din sebenarnya bukan dukun 'wayang' sebaliknya mempunyai kesaktian yang tidak dapat dilihat orang lain.

Dapat difahami zaman dulu memang kebanyakannya wanita gemar berkemban, jadi apabila pengarah menyelitkan adegan intim suami isteri antara Remy dan Shenthy Feliziana diharap penonton dapat menerimanya dengan berlapang dada dan tidak terlalu kritikal.

Pelakon Maria Menado (gambar, bawah) yang boleh dikatakan pelopor kepada watak pontianak dalam sejarah filem Melayu turut memuji pembikinan filem Dendam Pontianak yang diterbitkan Tiger Pictures dan diedarkan Primeworks Studios itu.

“Selepas menonton filem itu, saya berasakan ia bagus dari sudut tenikal dan juga lakonan. 

"Cuma ia kurang seram mungkin kerana yang mahu ditonjolkan adalah elemen dramanya,” kata bintang filem masyhur era 1950an dan 60an itu.

Maria yang pernah diiktiraf sebagai wanita tercantik Malaya oleh majalah Times turut berkata filem itu sedikit sebanyak mengimbau kembali kenangannya dalam melakonkan filem Pontianak pada1957.

Filem berkenaan merupakan filem seram klasik Malaysia yang dilakonkan oleh Maria, seniman veteran M Amin dan Mustaffa Ma’roff yag membawa penceritaan hampir sama dengan filem Dendam Pontianak.

Untuk rekod, filem Dendam Pontianak diberi rating P18 oleh Lembaga Penapis Filem yang bermaksud filem itu mempunyai adegan seram yang mungkin tidak sesuai ditonton oleh penonton bawah 18 tahun.

Ia mungkin sesuai disaksikan penonton yang baru mula berjinak-jinak dengan genre seram. Bagi penulis, penonton mungkin akan menjerit sederhana dalam konteks sejauh mana tahap kesan gerun daripada filem ini.

Dendam Pontianak sudah mula menjengah layar perak di seluruh negara sejak 12 September ini.

Jika anda merupakan seorang penakut tegar namun tetap ingin menonton filem seram, Dendam Pontianak boleh jadi langkah pertama untuk mencabar keberanian diri anda.

Lihat Komen
ADS