Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Jerebu: Zed anggap menteri banyak drama, bukan jaga kebajikan

Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) mendakwa menteri PH asyik berpolitik dan berdrama berbanding menggembleng usaha efektif dalam menangani isu jerebu yang semakin serius ketika ini.

Zed berkata, menteri tidak mengambil serius perihal situasi ditanggung rakyat yang menderita akibat pencemaran jerebu apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa negeri semakin banyak di paras bahaya.

“Nak tanya menteri pun rasanya tak payah la sebab dorang (mereka) bukan tahu sangat pasal kebajikan rakyat asyik politik dan berdrama 24 jam walaupun dah jadi menteri.

“Dah jadi menteri pun b** hmm…rakyat lagi kesian sebab diper***kan selama ini haaiiii… sayangi Malaysiaku,” katanya melalui hantaran di media sosial.

Zed menujukan kenyataan itu kepada Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Kesihatan.

Sementara itu, bercakap kepada Malaysiakini kemudiannya, Zed berkata, dia mengeluarkan kenyataan tersebut ekoran bimbang melihat situasi yang terpaksa dihadapi anaknya, Ryan Ziqry, berusia tujuh tahun pagi tadi.

Menurut Zed, hidung Ziqry mengalirkan darah tanpa henti dipercayai akibat jerebu yang semakin serius pagi tadi.

“Hidung anak saya berdarah selain dia sakit tekak dan sesak nafas. Pada masa sama, saya bimbang sekiranya berlanjutan keadaan kesihatan dia akan lebih teruk,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

KPM melalui kenyataannya mengisytiharkan sebanyak 1,484 sekolah di tujuh negeri diarahkan tutup hari ini berikutan peningkatan bacaan IPU di sekitar kawasan masing-masing setakat 1 tengah hari tadi.

Menurut KPM), penutupan sekolah terbabit membabitkan 1,003,310 pelajar.

Ini termasuk 66 sekolah di Wilayah Persekutuan membabitkan 48,527 pelajar dan 53 sekolah di Negeri Sembilan dengan 28,073 pelajar turut diarahkan tutup berikutan beberapa kawasan mencatatkan bacaan IPU melebihi 200 iaitu sangat tidak sihat.

Turut dilaporkan, Selangor mencatatkan penutupan sekolah paling tinggi iaitu membabitkan 538 sekolah diikuti Sarawak (337); Perak (303); Pulau Pinang (162) dan Putrajaya (25).

Bermula esok hari, semua sekolah di Selangor akan ditutup selama dua hari manakala sekolah-sekolah di Pulau Pinang dan Putrajaya akan ditutup selama satu hari akibat jerebu, maklum sekretariat kerajaan negeri Selangor, serta pengarah pendidikan negeri Pulau Pinang dan Putrajaya.

Kata Zed, sebagai bapa - dan bergantung pada situasi tertentu - sememangnya dia boleh bertindak menghalang anaknya daripada hadir ke sekolah, namun enggan berbuat demikian.

Menurut pemilik nama sebenar Rozaidi Abdul Jamil itu, dia tidak mahu melanggar peraturan sekolah apatah lagi sekiranya perbuatan itu menyebabkan anaknya disifatkan sebagai “ponteng kelas.”

“Saya sendiri tak pernah ponteng sekolah sejak dari tingkatan satu hingga lima. Saya masih mahu ikut peraturan selagi tak keluarkan arahan.

“Saya tak mahulah buat keputusan sendiri dan ajar anak ponteng kelas,” katanya.

Justeru, kata pelakon drama Sembilu Kasih itu, sewajarnya ada pegawai memantau perkara berkaitan jerebu di semua sekolah dan mengeluarkan arahan penutupan secepat mungkin dengan mengeluarkan notis awal.

“Perkara macam ni jangan diumumkan melalui aplikasi WhatsApp tapi secara bertulis, sebab kita tak nak perkara lain pula berlaku membabitkan kebajikan sekolah anak-anak,” katanya.

Zed berkahwin dengan Natalia Mustafa Kamal pada 29 April 2011. Selain Ryan, pasangan itu dikurniakan dua lagi anak kembar perempuan iaitu Vea Raiqa dan Gia Raissa, yang kini berusia tiga bulan.

Lihat Komen
ADS