Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Tiada di pawagam, tiada di Netflix, ada di Wayang Budiman

Dua minggu sekali, satu komuniti penggemar seni filem akan berkumpul di sebuah pusat apresiasi filem di Alam Budiman, Shah Alam.

Di sini mereka berpeluang menonton filem-filem yang tidak ditayangkan di mana-mana pawagam di Malaysia, mahupun di perkhidmatan Netflix. Malah, filem-filem ini juga berstatus langka.

Selepas ditayangkan, mereka akan mengadakan diskusi disusuli bual santai bersama koordinator mereka, pensyarah kajian filem Universiti Tekonologi Mara (UiTM) Norman Yusoff.

Selamat datang ke pusat apresiasi filem, Wayang Budiman.

Ditubuhkan pada tahun 2014, Wayang Budiman popular di kalangan pencinta filem. Semua programnya dijalankan secara percuma.

Ia ditubuhkan oleh Azharul Azmir, seorang bekas pelajar UiTM yang minat pada segala elemen tentang filem dan ingin berkongsi minat tersebut dalam sebuah komuniti.

Wan Sofa Syifaa, 23, salah seorang hadirin Wayang Budiman, mengakui tayangan filem-filem langka menariknya untuk mengikuti program tersebut.

Bagi Wan Sofa, ia lebih dari hiburan. Dari program-program tersebut, beliau menimba ilmu tentang pelbagai aspek budaya filem.

“Bukan setakat itu, ia juga memupuk pemikiran kreatif dan kritis.” tambah beliau.

Wayang Budiman juga menjadi pentas bagi pengkarya filem tempatan memperkenalkan karya-karya bukan arus perdana mereka.

Antara filem tempatan yang ditayangkan termasuk produksi Kuman Pictures dan Koyak Tiket Film.

Kuman Pictures mempersembahkan filem Dari A ke Z Lokman, dokumentari tentang sutradara Z Lokman.

Koyak Tiket Film menayangkan filem pendek Balah Tuah arahan sutradara muda Adam Muhammad Taufiq.

Kedua-dua filem ini tidak ditayangkan di pawagam komersil.

Menurut Adam, Wayang Budiman penting baginya kerana ia memberi pendedahan kepada sinema dunia yang berbeza dengan gaya lazim seperti Hollywood.

“Sesi diskusi juga penting untuk mengubah cara melihat filem dari pelbagai sudut,” jelas beliau.

Filem yang diarah olehnya, Balah Tuah, mendapat sambutan yang memuaskan ketika sempena rumah terbuka Aidilfitri di Wayang Budiman.

“Komuniti Wayang Budiman (digalakkan) untuk buat filem pendek berdasarkan tema atau genre yang dia bagi. Malahan tidak sangka pula saya punya filem dapat pengiktirafan dari komuniti tersebut,” katanya.

Menurut Norman, filem-filem yang ditayangkan dipilih atas unsur kualiti dan keistimewaan. Jarang sekali beliau menayangkan filem Hollywood kerana filem dari Asia Tenggara lebih perlu diberi perhatian.

“Rakyat Malaysia ramainya tidak memperdulikan filem di Asia Tenggara. Mereka lebih kepada menonton filem yang Hollywood-centric,” kata Norman.

Antara filem-filem yang ditayangkan termasuk Karnal (1983) dari Filipina dan Surat Untuk Bidadari (1994) dari Indonesia.

Filem yang difokuskan adalah yang memenangi pelbagai filem festival dan kebanyakannya filem klasik, jelas beliau.

Kebanyakan hadirin adalah golongan pelajar, seniman, dan orang industri, kata pensyarah tersebut.

Ketiga-tiga golongan ini boleh mencapai seramai 60 orang dalam satu diskusi.

“Setakat ini tiada lagi jumlah yang rendah dari 10. Paling kurang 25 orang yang hadir.” tambahnya.

Jadi inspirasi komuniti di Ipoh

Wayang Budiman telah menjadi inspirasi bagi penubuhan pusat kajian filem lain seperti Wayang Di-Atas di Ipoh, Perak.

Wayang Di-Atas ditubuhkan pada Ogos 2018 dan memfokuskan filem-filem Malaysia, kata pengasasnya, Farid Rahman.

“Seperti Wayang Budiman juga, kami buat satu diskusi santai dan saya sebagai kurator untuk diskusi itu.”

Sempena ulang tahun pertama mereka minggu lalu, pertubuhan Wayang Di-Atas menganjurkan sesi bacaan esei filem, tayangan filem pendek seperti Ninavau dan Indie Inc, dan filem klasik Kaki Bakar (1995).




Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS