Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan

Lembaga Penapis Filem (LPF) mengharamkan penayangan Hustlers kerana filem berkisahkan penari bogel di New York, Amerika Syarikat itu memaparkan terlalu banyak adegan lucah yang keterlaluan.

Pengerusinya, Mohd Zamberi Abdul Aziz, berkata, LPF tidak meluluskan tayangan filem dibintangi pelakon dan penyanyi terkenal Jennifer Lopez atau J Lo itu selepas mendapati ia tidak bersesuaian untuk dipaparkan dalam konteks Malaysia.

“LPF tak lulus sebab kandungannya mengandungi banyak aksi lucah keterlaluan.

“Keterlaluan di sini bermaksud sehingga menampakkan bahagian payu dara manakala lelaki, alat sulit mereka," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Kata Mohd Zamberi, Hustlers turut diharamkan kerana memaparkan aksi penari tiang yang mengghairahkan.

Semalam, TGV Pictures mengumumkan Hustlers - yang sepatutnya memulakan tayangannya minggu ini - “ditangguh atas masalah teknikal.”

Bagaimanapun, TGV Pictures kemudian mengumumkan LPF tidak meluluskan tayangan Hustlers yang turut dibarisi Constance Wu, Julia Stiles, Keke Palmer, Lili Reinhart, Lizzo dan Cardi Bi itu.

Ditulis dan diarahkan, Lorene Scafaria, naskhah bergenre jenayah-drama itu berdasarkan laporan wawancara pada 2015 daripada majalah New York Magazine berjudul The Hustlers at Scores, tulisan Jessica Pressler.

Naskhah berkenaan terlebih dahulu membuat kemunculan awal di Festival Filem Antarabangsa Toronto pada 7 September lalu.

Plot penceritaan berdasarkan kisah benar jaringan jenayah sekumpulan wanita yang menggoda mangsanya dengan meletakkan dadah ke dalam minuman dan kemudian mengajak mereka berkunjung ke kelab tarian bogel.

Para pelanggan yang terdiri daripada pedagang saham atau ketua pegawai eksekutif yang khayal itu kemudiannya akan dikenakan caj melalui kad kredit mereka dengan bayaran yang tinggi.

Walaupun terdapat pelbagai respons, lakonan Jennifer sebagai Ramona tetap dipuji dan disebut-sebut sebagai pencabar anugerah Oscar tahun depan.

Dalam pada itu, Mohd Zamberi berkata, Hustlers juga dikhuatiri membawa pengaruh kepada penonton kerana memaparkan adegan penyalahgunaan dadah.

“Cara pemprosesan dan pengambilan dadah dibuat begitu terperinci,” katanya.

Diminta mengulas mengenai tarikh tayangan Hustlers yang telah diumumkan, Mohd Zamberi berkata pengedar mempromosikan filem itu terlebih dahulu sebelum menghantarnya untuk penapisan.

“Biasanya pengedar filem import akan iklankan terlalu awal sebelum hantar pada LPF, ini akibatnya.

"LPF yang buat keputusan bukan pengedar, kita tapis, kalau boleh tayang, kita benarkan,” katanya.

Lihat Komen
ADS