Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Belajar muzik, tubuh band walau nenek suruh jadi polis

Kehidupan sebagai pelajar pastinya tidak lepas daripada masalah kewangan, namun demi mencapai impian yang berkobar, seseorang rela korbankan pelbagai hal termasuklah wang ringgit.

Itulah situasi yang dihadapi siswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Abang Alli Zulqarnain Abang Caspian, 22, yang mempunyai minat mendalam dalam bidang seni muzik sehinggalah menubuhkan kumpulan bandnya sendiri.

Meskipun mendapat tentangan daripada keluarga terutama neneknya, siswa jurusan Ijazah Sarjana Muda Muzik Komposisi, semester dua dari UiTM itu tetap dengan matlamatnya untuk mempelajari bidang berkenaan.

“Saya betul-betul ingin menjadi pemuzik profesional. Nenek saya kata muzik ini tak beri masa depan pun. Ramai saja orang main (belajar) akhirnya tak jadi apa.

“Saya cuma terima kenyataan itu sebagai penanda aras dan beri semangat kepada diri sendiri,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Zurqarnain berkata neneknya mahu dia menjadi pegawai polis.

Anak kelahiran Sarawak itu yang sebelum ini merupakan graduan Diploma Komunikasi dan Media dari UiTM Melaka berkata, dia sanggup ‘lompat’ ke bidang muzik kerana minat yang dipupuk sejak menghabiskan sesi persekolahan.

“Saya mula bermain muzik selepas (habis) SPM, dan dapat inspirasi dari rakan-rakan yang selalu main muzik. Mula-mula menyanyi saja, selepas itu main gitar.

“Semasa diploma dulu, saya lebih terlibat kepada muzik. Saya hadir semua acara sampai kerja kursus tergadai,” katanya yang mahir bermain pelbagai jenis alat muzik sepert gitar, drum dan piano.

Disoal mengenai kos yang dibelanjakan untuk membeli peralatan muziknya, Zulqarnain mengakui dia menghabiskan sejumlah wang yang hasil dari pekerjaannya di sektor perkhidmatan makanan semasa cuti semester.

“Saya seperti pelajar lain, nak beli telefon baru. Nak ikut trend. Tapi saya rasa itu takkan memberi impak kepada saya,” katanya.

Katanya, meskipun sudah memiliki tiga buah gitar, namun Zulqarnain membeli sebuah lagi gitar baru bersama wayar, amplifier dan gajet yang mampu menghasilkan bunyi yang berbeza.

“Dalam akaun saya ada RM2,000, jadi saya beli semua dalam RM1, 200 dan nenek saya betul-betul marah kat saya. Dia kata saya membazir.

“Saya rasa benda ni tak merugikan saya. Saya rasa saya dah gunakan dengan jalan yang betul untuk saya kejar (capai) impian,” katanya yang menjadikan Noh Hujan dan John Mayer sebagai idola.

Mengulas lanjut, dua tahun lalu, Zulqarnain pernah dilamar oleh seorang penyanyi rock tanah air untuk bekerja di syarikat rakaman yang akan ditubuhkan, namun disebabkan kekangan kewangan yang dihadapi penyanyi 90an itu, rancangan tersebut tidak diteruskan.

Tambahnya, band miliknya, Sunday, yang terdiri dari empat orang ahli dalam perancangan untuk menghasilkan beberapa buah lagu untuk dirakamkan, buat masa ini, lagu-lagu sentuhan mereka seperti Asonansiku, Romantika, Engkaulah Dewiku dan Karektor masih dalam bentuk demo namun sudah dilancarkan di laman Youtube.

“Saya rasa Tuhan dah kurniakan bakat untuk bermain muzik, menulis lirik untuk saya beri inspirasi pada orang lain.

"Saya nak tunjukkan orang seperti saya yang ditentang keluarga boleh melakukan sesuatu untuk menjana pendapatan melalui muzik. Sebab itu saya bersungguh nak capai impian ini,” katanya menutupi perbualan.

Lihat Komen
ADS