Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Darthvader, Joker kini jadi pendekar wayang kulit

Jika kita pernah melihat adiwira diangkat di layar perak atau pun kaca televisyen, itu perkara biasa. 

Namun kini tidak lagi apabila adiwira popular seperti Aquaman, Batman dan Darthvader sudah mula dipaparkan menerusi wayang kulit.

Pengasas Fusion Wayang Kulit, Tin Toy Chuo, 47, percaya wayang kulit dapat menarik perhatian golongan muda sekiranya diberi nafas baru kepada watak dan penceritaan yang dimainkan.

“Objektif kami adalah untuk berfikir di luar kotak dengan memasukkan elemen komtemporari dalam wayang kulit tradisional dengan adiwira yang terkenal.

“Motif kami adalah untuk menarik perhatian belia. Orang muda jika kita tunjuk cerita tradisional wayang kulit mereka mungkin tidak minat.

“Jadi kami ambil pendekatan bawa adiwira popular dan persembahkan menerusi cerita wayang kulit,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Fusion Wayang Kulit adalah sebuah organisasi yang beroperasi sejak 2012 dan mempunyai 20 krew daripada pelbagai kaum terdiri daripada pengarah muzik, penulis skrip, pemain wayang kulit dan ramai lagi.

Tin juga berkata dia menerima tunjuk ajar dari seorang tok dalang di Kelantan, Muhammad Dain Othman yang mempunyai pengalaman luas berkenaan seni wayang kulit tersebut.

“Saya banyak bekerja dengan Pak Dain, dia antara yang menguruskan penceritaan wayang kulit dan membuat boneka tersebut.

“Beliau juga mengajar bagaimana untuk persembahkan sesebuah penceritaan dalam setiap wayang kulit itu,” katanya yang turut merupakan seorang pereka.

Antara karakter yang pernah diangkat menjadi boneka wayang kulit adalah watak dari filem Marvel Avenger, Justice League dan juga watak yang kini menjadi kontroversi dan bualan hangat iaitu Joker.

Cerita mengikut filem

Tidak ketinggalan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan juga penyanyi Ed Sheeran turut dijadikan sebagai boneka wayang kulit tersebut.

Selain itu, Tin menjelaskan penceritaan yang dibawa dalam wayang kulit mengikut skrip filem asal watak itu dan terdapat juga sedikit rekaan dari ahli pasukannya.

“Kami ambil cerita dari filem itu cuma beza aplikasi dalam bentuk wayang kulit. Ada juga yang kami tambah-tambah sikit,” katanya.

Bagaimanapun, Tin menjelaskan tidak semua menyambut baik pada awal projek wayang kulit itu dijalankan.

“Pada awal setahun dua ketika kami mulakan, ada juga yang tidak setuju, mereka kira saya buat kacau.

“Tetapi saya rasa mereka sebenarnya tidak faham dengan mesej yang ingin kami sampaikan maka saya banyak berbincang dengan tok dalang untuk jelaskan kepada mereka pendirian saya,” katanya.

Setakat ini Fusion Wayang Kulit sudah membuat persembahan di serata Malaysia dan juga luar negara seperti Singapura dan Jermen.

Berdasarkan persembahan pula, ia dibuat mengikut permintaan syarikat korporat, dan kebiasaannya bagi majlis atau program berprestij dan ada juga dilakukan pada aktiviti sukarelawan.

Lihat Komen
ADS