Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Faizal sanggup tukar trofi jika bayaran lakonan setimpal

Faizal Hussein lebih sanggup menukar trofi kemenangan diraih pada majlis Anugerah Skrin 2019 (ASK 2019) kelmarin asalkan mendapat bayaran lakonan yang setimpal.

Pelakon senior itu menjelaskan, sebelum ini dia sering dikecewakan apabila penerbit tempatan menggugurkan namanya daripada projek-projek drama atau filem kerana meletakkan bayaran yang dianggap terlalu tinggi.

“Ini anugerah ultimate yang paling saya tunggu-tunggu.

“Jika boleh tukar ni (trofi) dengan bayaran daripada penerbit tempatan supaya gaji karyawan diberikan naik, saya sanggup tukar anugerah ni,” katanya.

Aktor berkenaan berharap anugerah diterimanya itu dapat membuka mata penerbit tempatan agar mereka menilai bakat dan usaha dicurahkannya dengan harga bersesuaian.

“Trofi ni untuk penerbit yang selalu tolak nama Faizal Hussein agar buka mata. Biasanya produksi drama atau filem hebat akan datang pada saya, tapi lepas tahu harga, mereka terus cari pelakon lain.

“Kadang-kadang mereka ni tak tahu cara saya bila bekerja akan bagi komitmen penuh untuk satu-satu watak. Mereka tak hargai,” katanya.

Pemilik nama penuh Mohd Faizal Hussin itu ditemui pada majlis ASK 2019 yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putera pada 1 November lalu.

Pada majlis berkenaan, Faizal membawa pulang anugerah Pelakon Lelaki Terbaik melalui lakonan mantapnya dalam drama Samad Tedung.

Faizal, 52, pada masa sama turut mempersoalkan bagaimana segelintir pelakon baru boleh ditawarkan dengan bayaran sama seperti yang diterimanya.

“Harga yang saya minta taklah tinggi mana sedangkan saya sudah berada dalam industri lebih lama.

“Modal pakaian nak hadir ke majlis seperti ni saja sudah menelan harga cecah RM7,000. Bayangkan betapa sedihnya saya,” katanya.

Menurut pelakon Gila-Gila Remaja itu, perkara itu turut menyebabkan dia jarang kelihatan dalam sesebuah drama sejak kebelakangan ini.

“Saya bukan selalu muncul dalam drama misalnya. Kalau ada pun sama ada setahun atau dua tahun sekali.

“Kalau minta lebih pula, saya akan ‘hilang’ dari radar industri,” kata pemenang Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-25 itu.

Lihat Komen
ADS