Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

ULASAN FILEM | Diuar-uarkan bahawa ia datang daripada penerbit Dukun (2018), karya seram yang akhirnya memasuki pawagam selepas 12 tahun terperap.

Saya menyangka Pusaka lebih cemerlang berbanding Dukun, rupa-rupanya ia cuma lebih baik daripada Munafik 2. Tidak lebih, tidak kurang.

Takdir bagaimanapun seperti siap menyambut Pusaka lantaran subteks kritik sosiopolitik dalam filem berkenaan. Tayangan Pusaka secara kebetulan dibuat menjelang PRK Tanjung Piai.

Malangnya, takdir seolah-olah bertepuk sebelah tangan apabila premis dibawa Pusaka separuh siap rohnya.

Subteks Pusaka itu boleh dicerap jika ia diselarikan dengan naratif dua pasangan kembar. Kembar seiras Balqis – Qistina dan pasangan kembar tidak seiras Nuar-Nur.

Bagi kembar Balqis dan Qistina, beban sejarah bermula dengan pengambilan saka oleh ayahnya untuk tujuan kekayaan. Neneknya pula mengambil jin bagi membentengi keluarga. Lalu, kembar itu menjadi mangsa.

Balqis yang masih hidup memilih jalan sesat sama seperti ayah dan neneknya bagi membalas dendam. Dari sisi ini, seperti generasi sebelumnya yang sudah tercemar, pasangan Balqis-Qistina digambarkan turut memilih jalan salah bagi menghadapi onar hidup.

Merenung jalan di depan

Bagi kembar Nur-Nuar pula, dikhabarkan ibu mereka bermasalah lalu ‘pusaka tercemar’ itu turun kepada Nur si penagih ganja. Nuar - seorang detektif polis - berusaha menjadi insan berguna lalu bergelut dengan masalah kembarnya yang ketagihan dadah.

Nuar menyiasat kes kembar Balqis-Qistina, lalu Nur menjadi mangsa.

Di titik alih plot, Opah menyatakan: “Semuanya atas kau” pada Nuar. Lalu, naratif bergerak dengan Nuar sebagai pemutus. Sampai pada saat klimaks Nur dirasuk, Nuar memutuskan untuk menggerakkan jiwa bawah sedar kembarnya itu agar bangkit melawan kejahatan.

Kesedaran itu membolehkan Nur melawan ketagihan dadah dengan bantuan Nuar di pengakhiran. Dari sisi ini, tidak seperti generasi sebelumnya yang sudah tercemar, generasi muda digambarkan memilih untuk menolak laluan salah lalu membina kehidupan baru.

Dengan itu, kita sebagai penonton - mungkin juga peminat Syafiq Kyle - seperti diseru dengan laungan “Semuanya atas kau” daripada Opah. Kita diajak merenung sama ada mahu memilih jalan jahat atau jalan taubat.

Semuanya bergantung kepada kita, generasi muda.

Hal ini jika dilihat dari sudut pandang politik semasa ia boleh dianggap sebagai suara politik generasi muda yang menolak saka dan puaka politik perkauman yang diwariskan generasi terdahulu.

Apatah lagi ketika kita sedang mengalami demam PRK Tanjung Piai. Kekotoran siasah bersepah-sepah, seperti kempen menolak - bukan satu tapi dua - calon Melayu-Islam oleh parti yang digemakan sebagai pejuang Melayu-Islam masa kini.

Jika ada yang cuba berhujah mengabsahkan pendirian tersebut dengan hujah “fatwa berubah kerana dalam agama ada hal thabat (tetap), ada hal murunah (anjal)”, sambutlah tangannya sembari ucapkan: “Ma’a as-salamah!” (al-Qur’an, 25:63).

Paradoksikal jugalah menjadi kegelinciran Pusaka untuk mewajarkan keputusan peleraian naratifnya melalui deus ex machina. Nuar menyerah diri kepada Maha Kuasa seraya rak jatuh menghenyak saka.

Hal-hal paradoksikal

Sebagai salah satu peranti plot, deus ex machina tidak bersalah. Yang bersalah ialah pencerita yang gagal tidak menjalinkan dengan kuat kesan sebab-akibat bagi mewajarkan deus ex machina.

Justeru impaknya sekadar angin lalu tanpa meninggalkan kesan.

Adakah Nuar seorang detektif yang tidak beriman? Lalu, wuduk yang diambilnya dalam babak terdahulu itu apa? Adakah hanya dengan mengentengkan bingit saran Luqman yang meratibkan “ini syirik, itu syirik” cukup untuk membingkaikan ketidakpercayaan Nuar kepada hal spiritual?

Itu belum lagi soal pembinaan watak Nuar yang sehinggakan kalau pistol dighaibkan, kita pasti terlupa dia seorang detektif. Inilah antara hal-hal yang begitu paradoksikal.

Memandangkan penerbit Pusaka adalah mantan penerbit Dukun, kita menjangkakan identiti detektifnya lebih kemas. Jika tidak, maka apa perlunya watak itu wujud?

Dalam Dukun, watak detektif lakonan Nam Ron dilihat jelas intuisinya sebagai anggota polis. Ia tambah serasi dengan watak pembantu, lakonan Bront Palarae. Ia jauh lebih berkesan berbanding Nur-Nuar yang lebih mirip sebagai pasangan kekasih daripada adik-beradik.

Masih segar ingatan bagaimana kes Diana diselesaikan dengan metafora jaringan gol Zizou. Hal-hal halus (baca: subtle) sebeginilah yang tidak dijelmakan dalam Pusaka.

Hampir dua dekad lalu, Monsters, Inc (2001) menitahkan bahawa mengejutkan penonton dengan ketakutan sudah ketinggalan zaman.

Memanglah tidak adil kita mengharapkan Pusaka menjadi naskhah seram revolusioner seperti Midsommar (2019), penafi klaustrofobia dan kegelapan semacam The Wicker Man (1972) atau The Virgin Spring (1960).

Namun setidak-tidaknya seperti Jaws (1975), Spielberg memberikan makna untuk mencipta jump scare dalam filem berkenaan.

Pembikin filem seram yang baik mampu menakutkan penonton dengan subjek yang sedang bercerita, bukan dengan bunyi yang tiba-tiba.

Malang apabila naratif Pusaka tunduk kepada cara yang salah untuk membikin filem seram apabila ia mencampakkan segalanya ke muka dan telinga penonton walaupun sepatutnya sasaran sebenar ialah minda mereka.

Maka wajarlah produksi filem yang berkenaan bermuhasabah diri.


ZA'IM YUSOFF ialah pembaca Malaysiakini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi portal ini.

Lihat Komen
ADS