Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
DBP ajak pemuzik jalanan cipta lagu bahasa Melayu tema Rasulullah

Bagi meningkatkan kecintaan masyarakat terhadap Bahasa Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tampil menganjurkan Program Ekspresi Muzik Jalanan Rahmah sempena sambutan Maulidur Rasul minggu ini.

Ketua Pengarah DBP Abang Sallehuddin Abang Shokeran berkata, ia merupakan pertandingan mencipta lagu dan mengajak generasi muda khususnya penghibur jalanan untuk menyertainya.

“Dalam pertandingan ni, kita minta penghibur jalanan mencipta lagu dalam Bahasa Melayu.

“Disebabkan lokasi berdekatan masjid dan hampir dengan sambutan Maulidur Rasul, kita ajak anak muda cipta lagu bertemakan Rasulullah,” katanya kepada Malaysiakini.

Program Ekspresi Muzik Jalanan Rahmah yang akan berlangsung esok dianjurkan DBP dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, melalui pengurusan Masjid Jamek, Kuala Lumpur serta Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur.

Acara dijangka bermula seawal jam 8 pagi di perkarangan Masjid Jamek Kuala Lumpur.

Pertandingan akan diadili juri profesional iaitu Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Dr Hazami Jahari dan penyanyi Nur Heliza Helmi.

Ia melibatkan sepuluh penyertaan berkumpulan dari seluruh negara dengan hadiah keseluruhan yang ditawarkan bernilai RM7,900.

Abang Sallehuddin

Abang Sallehuddin berkata, program itu juga bertujuan menjadikan penghibur jalanan sebagai perantara untuk mengembangkan Bahasa Melayu melalui ciptaan lagu menggunakan lirik dalam bahasa kebangsaan itu sepenuhnya.

Beliau berkata ia diharap dapat mengembangkan bahasa dan persuratan Melayu di pelbagai peringkat masyarakat.

“Masih ramai anak muda belum kenal DBP, justeru ini antara cara untuk anak muda jadi sahabat kami. Di samping itu kita akan bimbing mereka untuk terus berkarya dengan baik," katanya.

Selain itu, Abang Sallehuddin memaklumkan pihaknya turut membuka ruang untuk penghibur jalanan menggunakan DBP sebagai platform mempersembahkan kreativiti mereka.

“Jika sebelum ini teater dipentaskan di Stor Teater DBP, kali ini kami mengalu-alukan pula penghibur jalanan untuk menggunakan pentas DBP.

“Anak muda perlukan ruang untuk berkarya, saya lihat mereka ada kalanya terpaksa membayar untuk menyertai pertandingan menyanyi," katanya.

Beliau berkata ia baru langkah permulaan kerana DBP merancang untuk mengadakan lebih banyak lagi kegiatan seumpama itu di masa akan datang, dengan golongan muda sebagai sasaran utama.

Lihat Komen
ADS