Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Makyung: Satu cabaran penilaian semula di Kelantan

WAWANCARA | Pelbagai usaha dibuat oleh badan atau agensi tertentu untuk mengembalikan tarian tradisional makyung. Namun keindahan teater warisan itu sebelum ini seolah-olah mati di tanah air sendiri.

Sejak tahun 1991, tidak ada lagi gemersik rebab mengiringi tarian inang pengasuh, peran, hulubalang dan putera raja seperti dikisahkan dalam hikayat dan naskhah skripnya.

Jika ada sekalipun, ia tidak dipentaskan secara menyeluruh khususnya di Kelantan yang mengharamkan persembahan itu.

Sehinggalah tahun ini atau lebih tepat pada Februari lalu, apabila Mohd Raizuli Jusoh memulakan khidmatnya selaku pengarah Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri (JKKN) Kelantan.

Ketika Ditemui Malaysiakini baru-baru ini, beliau menjelaskan satu kajian dan perbincangan bersama pegawai-pegawai agensi itu dilangsungkan dengan serius sekali gus memutuskan untuk menjelmakan semula makyung di Kelantan.

"Kita di Kelantan tidak ada pulau-pulau atau kawasan pergunungan sebagai produk pelancongan seperti mana di tempat-tempat lain. Tetapi kita ada makyung.

"Satu warisan tradisi yang sudah mendapat pengiktirafan dunia dan wajar dipelihara sertai diperkenalkan," kata Mohd Raizuli ketika ditanya bagaimana mula terdetik untuk kembali mementaskan makyung.

Mohd Raizuli Jusoh

Menyorot kembali penilaian awal dilakukan katanya, JKKN Kelantan mengadakan satu pertemuan dengan Exco Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Kelantan, Mejar (B) Md Anizam Ab Rahman bagi menyatakan hasrat berkenaan.

Menurutnya, pihak exco kerajaan negeri menyatakan persetujuan dan menyambut baik usaha mengembalikan makyung ke pentas tetapi wajib berpegang pada garis panduan yang ditetapkan dalam Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998 negeri Kelantan.

"Apabila datang sini pada bulan Februari 2019, saya tengok satu kesenian iaitu mak yung cukup baik jika dapat dipentaskan semula. Sebelum ini ia mendapat pengiktirafan Unesco, tetapi tak dapat dimainkan di tempat sendiri.

"Saya lihat ada usaha ke arah itu seperti dibuat oleh Akademi Seni Warisan (Aswara) atau Universiti Malaysia Kelantan (UMK). Tetapi kita masih dalam situasi untuk 'berkeras' dan dilema sama ada mahu pentaskan makyung yang asli atau sebaliknya.

"Sedangkan di pihak kerajaan negeri sudah ada garis panduan yang jelas di bawah Enakmen Kawalan Hiburan. Jelas ada garis panduan," kata Mohd Raizuli.

Jelasnya lagi, apa yang sering menjadi polemik dalam kalangan penggiat makyung, aktiviti, dan persatuan di Kelantan, antaranya mengenai penglibatan wanita.

"Yang menjadi polemik kita khususnya mengenai penglibatan wanita berusia 12 tahun ke atas dalam persembahan. Ketegasan itu menjadi kekangan.

"Selain itu unsur khurafat, jampi serapah, mantera dan ritual. Mungkin itu semua sudah tidak ada, tetapi hal-hal seperti penglibatan wanita, berpakaian sopan ini menjadi ketegasan di pihak kerajaan negeri.

"Apabila saya datng sini, saya kaji dan bincang bersama pegawai-pegawai dan saya putuskan bahawa kita perlu bergerak dengan mengikut lunas-lunas dan ketetapan oleh kerajaan negeri.

"Kami berbincang dengan exco dan nyatakan bahawa kita serius jika mak yung dibenarkan untuk dipentaskan semula dengan mengikut garis pandungan ditetapkan," ujarnya.

Justeru tambahnya, dengan beranggapan bahawa peraturan kerajaan negeri adalah cabaran - JKKN Kelantan meneruskan hasrat sekali gus mengambil mekanisme dengan mematuhi pantang larang yang ditetapkan.

"Ini adalah satu cabaran dan penilaian semula demi menyelamatkan satu kesenian warisan nenek moyang kita. Jadi pada Mei lalu, kami mengadakan satu persembahan dengan persiapan rapi di hadapan wakil kerajaan negeri, Jabatan Mufti Negeri, dan Dewan Ulama PAS Kelantan.

"Hasilnya, semua pihak berpuas hati dan ada cadangan daripada mereka supaya persembahan makyung ini disuntik dengan nilai tambah berlandaskan al-Quran.

"Contohnya dalam persembahan diselitkan dengan ayat-ayat al-Quran atau hadis sebagai mengambarkan sesuatu situasi sebagai nilai pengajaran sesebuah cerita yang dipentas. Kita juga mendapat maklum balas yang positif daripada Jabatan Mufti Kelantan," katanya.

Sebagai rekod pada 22 September lalu, JKKN Kelantan berjaya mementaskan mak yung Kisah Raja Besar Ho Gading yang diubahsuai antaranya dengan mengecualikan penglibatan pelakon wanita.

Walaupun dihujani pelbagai kritikan yang mempersoalkan mengenai keaslian persembahan itu, bagi Mohd Raizuli, itulah hakikat dan pengorbanan yang terpaksa dilaksanakan dengan mengambil kira banyak sisi.

"Saya kira ini waktu yang sesuai untuk kita kembalikan makyung di Kelantan. Bersempena Tahun Melawat Malaysia 2020 dan Tahun Melawat Kelantan 2020, kita tampilkan mak yung sebagai salah satu produk pelancongan di sini," kata Mohd Raizuli.

Lihat Komen
ADS