Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
ITBM dijangka kecilkan operasi, buang separuh kakitangan
Diterbitkan:  Nov 13, 2019 9:56 AM
Dikemaskini: 3:21 AM

Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dijangka mengecilkan operasi dengan memberhentikan kira-kira separuh daripada 116 kakitangannya.

Pengurus besar, merangkap pengarah urusan ITBM Sakri Abdullah mengesahkan pemberhentikan itu akan dilakukan pada bila-bila masa.

“ITBM terlibat dalam rasionalisasi Kementerian Pendidikan Malaysia. 

"Kami memang diarahkan balik kepada fungsi asal iaitu menterjemah buku, dan sudah tentu kita perlu kecilkan operasi, jika tidak staf akan berlebihan,” katanya seperti dilapor The Malaysian Insight.

Beliau juga berkata lembaga pengarah syarikat itu akan bertemu dengan pegawai-pegawai Kementerian Kewangan untuk membincangkan tindakan selanjutnya.

“Kemungkinan ahli lembaga pengarah akan berjumpa dengan Kementerian Kewangan dalam tempoh terdekat dan tindakan akan dilaksanakan sebaik sahaja mendapat maklum balas daripada Kementerian Kewangan,” katanya.

Sementara itu, The Insight Malaysia juga memetik beberapa kakitangan ITBM yang berkata mereka telah dimaklumkan mengenai pemberhentian itu.

Menurut laporan itu, kakitangan yang terlibat akan hanya diberi pampasan gaji satu bulan kerana syarikat itu tidak berupaya untuk menawarkan Skim Pemberhentian Sukarela (VSS).

“Selepas raya haji (pada Ogos lalu) ada taklimat kepada semua pekerja. Ramai yang memahami dan reda dengan keadaan.

“Kami juga diberi khidmat nasihat daripada kaunselor, insurans Perkeso dan taklimat peluang pekerjaan yang lain,” kata seorang kakitangan yang enggan dinamakan, yang sudah lebih 10 tahun berkhidmat.

Bulan lalu, ITBM dinamakan antara 80 entiti yang menerima notis kompaun daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, dalam usaha mendapatkan semula wang yang mengalir keluar daripada 1MDB.

Agensi itu pada masa yang sama menegaskan tidak melakukan sebarang kesalahan dan menjelaskan bahawa syarikat itu hanya berurusan dengan pejabat perdana menteri serta tidak mengetahui sumber wang berkenaan.

Notis kompaun itu dikeluarkan berhubung dua projek percetakan buku berjumlah RM996,000 oleh ITBM dengan Pejabat Perdana Menteri pada tahun 2011.

ITBM adalah anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan dan dikendalikan oleh kakitangan Kementerian Pendidikan. 

Ia sebelum ini dikenali sebagai Institut Terjemahan Malaysia.

Lihat Komen
ADS