Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Ning: Saya kena makan, fikir, tidur macam Marina Mahathir

Daripada sekadar mencuba nasib dalam uji bakat, nama Ning Baizura akhirnya ‘sangkut’ untuk watak sebagai anak sulung Dr Mahathir Mohamad, Marina, dalam filem biografi Mahathir: The Journey.

Menurut Ning Baizura, peluang ibarat datang bergolek itu pula merupakan naskhah yang ditunggu-tunggunya sejak sekian lama selepas hampir 10 tahun tidak muncul di layar perak mahupun televisyen.

“Sebelum ni pernah beberapa tawaran singgah, namun ia naskhah berbentuk drama yang kurang menepati cita rasa saya.

“Ni Allah kata Dia bagi rezeki apabila dah ada anak dan suami, nah - sekarang tinggal hanya buat kemunculan semula,” katanya.

Menambah keterujaan untuk memegang watak sebagai Marina, Ning Baizura berkata, aktivis sosial itu sendiri merupakan peminat yang sering muncul pada persembahan pentasnya.

“Saya kenal Marina, tapi belum rapat. Dia selalu hadir menonton persembahan saya bersama rakan-rakan Yayasan Aids Malaysia,” katanya.

Ning Baizura, 44, ditemui pada majlis pengumuman Mahathir: The Journey di sebuah hotel di Petaling Jaya kelmarin.

Nampak susah hati

Filem berkisahkan perjalanan Mahathir itu merangkumi tempoh beliau melepaskan jawatan perdana menteri selepas berkhidmat selama 22 tahun, hinggalah kembali memimpin negara semula selepas menjatuhkan BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 tahun lalu.

Naskhah arahan Prof Dr Mohamad Hatta Azad Khan itu dijadual memulakan penggambaran Disember depan. Ia dijangka menjengah pawagam pada 2020 sempena hari kelahiran Dr Mahathir.

Selain Ning Baizura, turut menjayakan filem berkenaan ialah, Azhar Amir sebagai Dr Mahathir, Fauziah Latiff (Dr Siti Hasmah Mohamad Ali), Afique Hussain (Mukhriz Mahathir), Hilal Azman (Anwar Ibrahim), Dian P Ramlee (Dr Wan Azizah Wan Ismail), Lisdawati (Nurul Izzah) dan Qazim Nor sebagai Sofi.

Bagaimanapun, kata Ning Baizura, 44, dia perlu menyelami sifat Marina dengan lebih mendalam bagi menjiwai watak individu yang dipercayai menjadi tulang belakang kepada Mahathir itu.

Menurutnya, memang dia teruja bercampur takut untuk membawakan watak bukan fiksyen.

Untuk itu katanya, sekiranya diizinkan, dia ingin bertemu dan meluangkan waktu bersama Marina bagi mengenali siapa tokoh yang dekat dengan Mahathir itu.

“Di luar sana nampak dia sebagai tulang belakang bapanya, namun kita tak tahu cerita sebenar. Ada satu babak dia nampak susah hati dengan Mahathir.

“Pada luaran, riak wajah Marina juga menunjukkan dia seperti seorang yang serius dan tegas. Dia tak cakap laju-laju macam saya.

“Bagi menjiwai watak, saya kena makan, tidur dan berfikiran seperti Marina. Saya tak pasti bagaimana nak lakukan, yang saya tahu perlu luang masa dengan dia,” katanya.

Lihat Komen
ADS