Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Melangkah Terpaksa sebenarnya untuk Nike Ardilla, kata Azie Mustapha

Pada pertengahan 1990an, dua lagu berjudul Pelamin Anganku Musnah dan Kau Tetap Dalam Anganku dendangan Azie Mustapha pernah menggegarkan industri muzik tempatan, malah sehingga kini lagu hit itu masih menjadi pilihan untuk dinyanyikan terutamanya di pusat-pusat karaoke.

Kedua-dua lagu yang dicipta oleh komposer Saari Amri khas untuk Azie telah menaikkan namanya di persada muzik tanah air, namun sedar ataupun tidak, terdapat sebuah lagi lagu berjudul Melangkah Terpaksa yang dipopularkan oleh Azie dan lagu itu mempunyai kisah tersendiri.

Kata Azie, Melangkah Terpaksa bukanlah karya yang diberikan kepadanya sejak awal, akan tetapi, lagu itu diciptakan khas untuk seorang penyanyi Indonesia, Nike Ardilla, namun hasrat itu tidak kesampaian kerana Nike sudah pergi menghadap Ilahi pada tahun 1995.

“Saya ingat lagi ada seorang peminat saya dari Indonesia, dan peminat cakap di Indonesia ramai nak dapatkan penjelasan tentang Melangkah Terpaksa.

“Katanya boleh tak jelaskan sama ada Melangkah Terpaksa khas untuk Nike Ardilla? Saya sendiri pun tidak tahu macam mana mereka boleh tahu.

“Lagu Melangkah Terpaksa sebenarnya khas untuk Nike Ardilla… tapi tak sempat jadi terus Saari Amri beri kepada saya,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Nike Ardilla seorang penyanyi Indonesia yang terkenal bermula tahun 1985 menerusi lagu Mama Aku Ingin Pulang, Ku Takkan Bersuara, Bintang Kehidupan dan banyak lagi. Pada 19 Mac 1995, Nike disahkan maut dalam kemalangan jalan raya pada usia 19 tahun ketika kerjaya muziknya berada di puncak populariti.

Susulan tragedi itu, Saari (gambar atas) terpaksa memadam hasratnya untuk memberikan lagu Melangkah Terpaksa kepada Nike lantas diberikan kepada Azie.

Percaya dengan bakat yang ada penyanyi kelahiran Sarawak itu, lagu berkenaan dinyanyikan dengan penuh penjiwaan sesuai vokal gemersik Azie. Semakan Malaysiakini mendapati, lagu Melangkah Terpaksa mencapai 3.1 juta tontonan di laman Youtube.

Dalam perkembangan lain, Azie memberitahu lagu Pelamin Anganku Musnah dan Kau Tetap Dalam Anganku memberi kesan mendalam sepanjang kerjayanya sebagai penyanyi.

“Alhamdulillah, saya tak sangka sebab lagu ini membawa nama saya sampai sekarang, peminat masih lagi suka, masih ingat. Mereka kata lagu saya berada pada top list di pusat karaoke,” katanya.

Disoal mengenai ketiadaannya dalam pertandingan Gegar Vaganza musim enam (GV6), Azie berkata dia tidak tahu bagaimana lagi cara untuk berdepan dengan peminat yang kecewa kerana Azie tidak turut serta dalam pertandingan itu.

Katanya, menyertai GV6 memerlukan komitmen tinggi, justeru dia belum bersedia menyahut cabaran kerana mahu menumpukan perhatian kepada keluarganya, namun Azie tidak menafikan bahawa dia pernah mendapat tawaran sebanyak dua kali, pada GV5 (2018) dan GV6 (2019).

“Bagi saya, keluarga dulu. Saya ada anak yang masih kecil umur sembilan tahun dan ada yang menyambung pengajian di universiti yang perlu saya jaga.

“Sebagai orang tua saya perlu memantau anak-anak… lagipun suami saya sibuk, kalau harapkan orang tua (ibu bapa Azie) menjaga anak-anak, mereka tak berapa nak sihat,” katanya.

Tambahnya, dia faham akan perasaan peminatnya yang benar-benar mahukan Azie membuat kemunculan semula menerusi pertandingan itu, namun semuanya berbalik kepada rezeki masing-masing.

“Saya tak terkata dah macam mana sebab saya yang berada dalam situasi ini. Memang saya hargai sangat-sangat (peminat yang mahukan kemunculan Azie semula),” katanya.

Cerita berkenaan Azie timbul setiap kali sebelum GV musim baru bermula apabila ada beberapa pihak yang meramalkan Azie bakal menjadi salah seorang peserta GV6.

Namun, selepas pihak produksi mengeluarkan senarai rasmi peserta yang bertanding, Azie tidak tersenarai antara penyanyi lama yang berentap di pentas itu, justeru menepiskan sangkaan dan ramalan sesetengah pihak yang mahukan Azie bertanding dalam GV6. 

Lihat Komen
ADS