Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Rejab, Abizai dan Mawar penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara

Tiga pengarang tanah air diumum sebagai penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write Award) untuk 2016, 2017 dan 2018.

Mereka ialah penulis dari Perlis, Rejab Ismail - atau lebih dikenali dengan nama penanya Rejab FI; Zainal Abidin Suhaili (Abizai) dan pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Mawar Safei.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Abang Sallehuddin Abg Shokeran, berkata penerima ke-38, 39 dan 40 itu diumum sekali gus kerana sebelum ini majlis penganugerahannya terpaksa ditangguhkan berikutan kematian Raja Bhumibol Adulyadej pada 13 Okt 2016.

“Tempoh berkabung kerajaan Thailand hanya berakhir pada 31 Okt tahun lalu, menyebabkan penganjur terpaksa menangguhkan majlis penganugerahan anugerah ini,” katanya dalam satu sidang media khas di Menara DBP, Kuala Lumpur hari ini.

Abang Sallehuddin dalam sidang media itu berkata, pemilihan pemenang dibuat DBP selaku Sekretariat Tetap Anugerah Penulisan Asia Tenggara berdasarkan kriteria ditetapkan jawatankuasa pemilihan.

“Panel penilai mempertimbangkan beberapa perkara berdasarkan kekuatan karya dan sumbangan mereka kepada masyarakat,” katanya.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah DBP (Dasar), Padilah Ali dan Presiden Persatuan Penulis Nasional (Pena), Dr Mohamad Saleeh Rahamad.

Tegas Abang Sallehuddin, pemilihan penerima bagaimanapun tidak dibuat berdasarkan pada karya popular semata-mata.

“Pemilihan ini sebaliknya berbeza daripada Thailand yang memilih penerimanya berdasarkan karya popular pada tahun tersebut. Di Malaysia, pemilihan dibuat secara menyeluruh,” katanya.

'Tulis untuk bangunkan petani, buruh'

Sementara itu, Rejab, 78 menyifatkan anugerah berkenaan sebagai sesuatu yang bermakna untuk perjuangannya yang menulis bagi membangunkan masyarakat khususnya dari desa.

“Hakikat sebenar saya menulis adalah untuk membangunkan petani, buruh dan nelayan.

"Saya bergaul dan berkecimpung dengan mereka setiap hari. Jadi saya hasilkan karya seperti puisi, cerpen dan novel tentang mereka,” katanya.

Dia sebelum ini pernah memenangi pelbagai anugerah, antaranya Tokoh Budaya Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) 2008 dan Tokoh Bahasa dan Sastera Perlis 2013.

Bagi Abizai, 52, pula dia bersyukur dipilih sebagai penerima anugerah berkenaan kerana sebagai penulis puisi, pekerjaan itu tidak semudah disangkakan walaupun sudah tiga dekad berkecimpung dalam bidang tersebut.

“Puisi bukan sekadar kata-kata berangkap tapi lebih daripada itu, wajar memiliki ketelitian dan keseimbangan dalam menghantar makna dan menggayakan pengucapan,” katanya yang juga menulis esei, kritikan dan cerpen.

Karya tulisan bekas penuntut Universiti Sains Malaysia dalam bidang Kesusasteraan Melayu itu banyak disiarkan dalam pelbagai akhbar dan majalah seperti Berita Minggu, Mingguan Malaysia, Dewan Sastera, Dewan Bahasa, Utusan Borneo dan Utusan Sarawak.

Bagi Mawar, dia berbangga dan terharu apabila diberi penghormatan menerima anugerah tersebut kerana ia memberi semangat buatnya untuk terus menulis sastera Melayu.

“Ia satu kemenangan yang sukar, tapi saya percaya ia diadili dengan sebaik-baiknya,” katanya yang terkenal sebagai penulis cerpen itu.

Mawar, 48, yang bertugas di Pusat Pengajian Bitara Melayu UKM banyak menerima anugerah sastera sejak 1994. Antaranya Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Sastera Utusan Melayu-Public Bank dan Sayembara Penulisan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia.

Majlis penyampaian Anugerah Penulisan Asia Tenggara itu dijadual berlangsung pada 24 hingga 27 ini di Bangkok, Thailand.

Ia merupakan pengiktirafan kerajaan Thailand dan Yayasan Jim Thompson kepada pengarang dari seluruh negara Asia Tenggara.

Lihat Komen
ADS