Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Daulat 'ajar' seseorang harus jadi jahat untuk elak dipijak

Tanpa merujuk kepada mana-mana individu atau kejadian sebenar, filem Daulat dipersiapkan untuk memahamkan orang ramai bahawa dalam politik, kadang-kadang seseorang itu 'terpaksa' menjadi jahat supaya mereka mereka tidak dipijak.

Menurut pengarah Daulat, Imran Sheik, apabila seseorang berupaya mendalami makna buruk laku, maka dia boleh menjadikan ia sebagai senjata melawan kejahatan atau menentang musuh dalam politik yang diceburi.

“Biasanya filem berkisahkan politik akan mengangkat seseorang ahli politik sebagai mulia. Namun, Daulat berbeza kerana ia menunjukkan sisi gelap mereka yang berkecimpung dalam dunia tersebut," katanya.

Bagaimanpun, kata Imran, mesej cuba diketengahkan dalam Daulat bukanlah menyuruh orang untuk membunuh atau menipu, sebaliknya ia lebih kepada memberikan kefahaman kepada realiti dunia.

Katanya, seseorang ahli politik yang mempunyai kelemahan perlu mengubah diri mereka supaya menjadi jahat agar keinginan mereka dapat dipenuhi.

“Kalau jadi baik sangat, nanti orang pijak. Apabila dah faham sesuatu perkara yang tak baik, barulah mereka boleh kawal kejahatan berkenaan. Mesej itu yang cuba kami utarakan,” katanya.

Imran Sheik

Imran ditemui pada majlis prapelancaran filem Daulat di sebuah hotel di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Filem berkenaan dijayakan ramai pelakon terkenal, termasuk Tony Eusoff, Rashidi Ishak, Jasmine Suraya, Cristina Suzanne dan Zul Zamir. Jalaluddin Hassan, Amar Asyraf dan Sangeeta Krishnasamy pula dimunculkan sebagai penampilan khas.

Bagaimanapun, Imran menafikan dia memasang niat untuk mengajak penonton membenci atau menyindir mana-mana ahli politik melalui kisah dihidangkan dalam naskhah sulung arahannya itu.

Pada masa sama penerbit bersekutu siri TV, Jibril, itu mengakui dia mahu mencuba sesuatu yang berbeza walaupun mungkin berdepan dengan kecaman.

“Kalau nak ambil jalan selamat, saya boleh saja buat filem berdasarkan senario politik di negara lain, tapi saya kurang gemar kerana tak boleh nak kaitkan dengan cita rasa sendiri.

"Ini filem fiksyen, tak ada motif untuk serang mana-mana ahli politik,” katanya.

Bahkan kata graduan penuntut jurusan undang-undang itu semasa menyiapkan naskhah berkenaan, dia memastikan dirinya tidak cenderung kepada mana-mana parti politik.

“Saya tak nak ada kaitan dengan mana-mana parti mahupun individu yang menyertai politik tanah air. Peruntukan kami untuk menyiapkan Daulat amat kecil kerana guna wang sendiri.

“Itu pun ada seorang ahli politik datang tawarkan dana tapi saya tolak kerana dia minta penceritaan diubah mengikut selera dia,” katanya.

Lihat Komen
ADS