Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

ULASAN | Politik adalah tentang hidup, dan hidup adalah perihal derita lapar perut rakyat yang perlu diperjuangkan dengan makanan.

“There is no such thing as political murder, political bombing or political violence. There is only criminal murder, criminal bombing and criminal violence. We will not compromise on this. There will be no political status.”

Itu adalah potongan dialog yang dipetik dari filem Hunger arahan Steve McQueen yang diucapkan sendiri oleh Perdana Menteri Britain, Margaret Thatcher.

Ia merupakan sebahagian perenggan daripada ucapan berjela Thatcher yang pernah disampaikannya di Belfast pada 5 Mac 1981.

Kata-kata itu menjadi penegasan terhadap keputusan kerajaan British - pada 1976 - menarik semula status tahanan politik daripada banduan yang dipenjarakan kerana mengambil bahagian dalam konflik politik Ireland Utara.

Kesiasahan Tentera Republik Ireland (IRA), konflik di negara itu dan keperwiraan politik Bobby Sands mungkin tidak banyak diperkatakan di tempat kita.

Hal itu kerana naratif politik negara ini selalu hanya meromantiskan hal-hal kecurangan dan kecanduan pada kuasa.

Dalam perjalanan sejarah politik kita yang panjang, tanah ini menyaksikan begitu ramai pemimpin dan bangsawan yang tidak pernah lelah saling jatuh-menjatuh dan berbunuhan.

Haiwan politik semula jadi

Kemasyhurannya itu malah sampai melenyapkan beberapa kisah besar pimpinan Melayu yang pernah mengangkat kemanusiaan dan ketamadunan dalam memperjuangkan hak-hak rakyat selama memegang takhta berkerajaan.

Sands dalam filem Hunger menjadikan politik bukan sesuatu yang membosankan. Pembicaraan politik kuasa yang hanya menumpu akan hal-hal penabalan seorang pimpinan yang siap untuk menggantikan takhta perdana menteri dalam kerajaan hanyalah hujah orang politik yang laparkan kekuasaan.

Kegemaran sesetengah pemimpin yang cenderung untuk meletakkan politik pada bingkai tertentu melalui kisah Si Kitol dan Raja Mendeliar hanyalah retorik yang digelar Aristotle sebagai haiwan politik semula jadi.

Filem yang dihasilkan pada 11 tahun lalu itu sengaja disorot kembali ke tengah kancah kecelaruan politik negara dan kepartian yang serba haru, murahan dan memalukan.

Hunger bukan filem politik muluk yang sarat propaganda. Ia juga bukan sebuah filem biografi murah yang dibikin atas niat pengagungan atau penyucian politik buat mana-mana susuk penguasa. Jauh sekali daripada kisah ahli parlimen yang sering culas menghadiri sidang tetapi berlagak hebat apabila bercakap soal perjuangan.

Naratif politik Hunger meletakkan Sands selaku pejuang IRA yang meraih banyak perhatian, tapi pada masa sama dia kesunyian dan keseorangan.

Selain mendapat simpati Pope John Paul II, Sand - juga seorang ahli dewan parlimen yang keras melawan penindasan dengan cara kelaparan itu - turut mendapat perhatian Kesatuan Eropah.

Sands bukanlah satu-satunya susuk pemimpin yang menentang kuasa politik dengan kelaparan. Malah kaedah mogok lapar yang dia dan kumpulannya gunakan turut pernah diguna oleh Mahatma Gandhi dan Bhagat Singh di India.

Penderaan cukup memilukan

Signifikan melawan perseteruan politik dengan cara berlapar ini dapat kita hidu dengan kuat dan lihat dengan jelas pada teks dan subteks Hunger. Sehingga pada kemuncak filem ini penonton tidak lagi bisa memahami mengapa jalan seksa itu yang dipilih Sands dan teman seperjuangannya menjadi senjata.

Tekstual visual dan audio Hunger yang dipaparkan pada tiap batang tiang, tiap sudut tembok dan tiap inci dinding penjara Maze, menjadikan ia sebuah pengisahan sejarah Dirty Protest yang tak mudah untuk dilupakan.

Hunger menonjolkan perjuangan politik Sands bukan melalui ucapan berapi-api atau dengan dialog didaktik yang penuh retorik. Sebaliknya Hunger memusatkan pusar kekuatan dalaman para pejuang politik IRA yang sedang kepalaran itu dengan jelik busuk najis pada dinding, hancing kebanjiran air kencing dan makanan berulat yang sengaja dibuat menjadi habitat perjuangan politik yang begitu membekas.

Semua tahanan yang enggan membersihkan diri itu mencabar kekuatan jiwa penonton apabila menyaksikan paksaan pengawal agar mereka membersihkan diri terlihat sebagai penderaan jiwa yang cukup memilukan.

Sands disesah dan dibelasah setiap hari dengan cota. Dia ditumbuk, dihentak, dipijak dan ditelanjangkan malah dijolok-jolok duburnya dengan benda yang bukan-bukan.

Ia merupakan paparan realiti sebuah politik yang penuh dengan makna kebenaran. Kerana politik sememangnya kotor, pedih, sakit dan cukup menjengkelkan.

Dalam era politik moden amat sulit bagi politikus negara ini mendefinisikan kemiskinan. Politik itu telahpun menjadi lubuk buat beberapa puak dan kumpulan mencari makan dengan menjadikan ia tempat mengumpul pengaruh, kuasa dan kesenangan.


Baca Akhirnya yang menang adalah kebencian


Amat menyedihkan apabila politik Melayu masih mahu disandar-sandarkan pada retorik pertelingkahan kekuasaan yang sebenarnya bermaksud mencari kepentingan peribadi.

Politik bukan hanya tentang kemelut penguasaan. Ia sama sekali tidak hanya tentang kisah pewarisan dinasti kekuasaan mahupun cerita klasik transisi takhta yang tidak berkesudahan.

Kerana itu Sands dalam Hunger sanggup berhadapan dengan kematian walaupun tahu dia dan perjuangan kelaparannya diasing dan disudut-sudutkan.

Sehingga dikala dia berhadapan pengalaman getir dari perjalanan juangnya melalui sakit kelaparan itu.

Pada suatu ketika Thatcher sedang gembira bersulang dalam satu acara makan tengah hari di Istana Stormont yang dengan sombong naik ke pentas memberi ucapan:

“And faced now with the failure of their discredited cause, the men of violence have chosen, in recent months, to play what may well be their last card. They have turned their violence against themselves through the prison hunger strike to death. They seek to work on the most basic of human emotions, pity, as a means of creating tension and stoking the fires of bitterness and hatred.”

Penentangan Sand dan sembilan rakan seperjuangannya berakhir dengan kematian selepas 66 hari melawan dengan kelaparan.

Tetapi mereka tidak pernah tewas. Mereka mengajar - dan akan selalu mengingatkan - tentang kaitan antara politik dan kelaparan.


HARIS HAUZAH seorang penulis gagal yang tidak pernah menghasilkan apa-apa buku, juga penulis lakon layar yang mati akal dan keputusan asa untuk berjaya.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS