Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Teater Mariposa ambil konsep didik dan hibur anak kecil

Hiasan pentas persis taman berwarna-warni dihiasi pelbagai spesis flora dan fauna di Dewan Panggung Budaya Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menarik perhatian sesiapa sahaja yang menyaksikan teater Mariposa.

Persembahan yang dijayakan pelajar UPSI itu berjaya mencuit hati hadirin khususnya anak kecil yang teruja melihat serangga dan tumbuhan - watak dimainkan pelakon- kelihatan hidup dan mula berbicara.

Menurut penyelaras projek, Dr Syarul Azlina Sikandar penceritaan teater itu mengambil konsep “edutainment” iaitu hiburan yang mengandungi informasi seperti pendidikan.

Jelasnya lagi, pada akhir cerita ini, kanak-kanak akan mendapat pengajaran yang bermanfaat menerusi teater ini.

“Mariposa ini satu hiburan di dalam itu ada persembahan, lakonan, muzik, tarian dan nyanyian.

“Tidak seperti teater biasa, konsep “edutainment” yang kami ambil ini adalah untuk terapkan penceritaan teater itu dengan didikan nilai moral, jadi sambil berhibur kita hidangkan pengajaran,” katanya yang juga merupakan pensyarah kanan fakulti muzik dan seni persembahan di universiti itu.

Mariposa mengisahkan seekor rama-rama yang tampan -diberi nama Zizula- namun bongkak dengan rupa parasnya dan dilihat sering membuli rakan-rakan serangga yang lain kerana berasa dirinya paling hebat di kawasan taman yang dinamakan Beringin itu.

Lantas akibat sikapnya yang tidak disenangi ramai, dia telah mendapat musibah yang memudaratkan dirinya.

Selain itu, pengarah teater, Nur Ainun Saniah Azmi juga mendedahkan bahawa tidak semua pelakon dan krew produksi yang menjayakan teater itu merupakan pelajar dari fakulti seni persembahan.

Tambahnya, mereka yang berlakon ini terdiri daripada pelbagai kursus dan mereka mengambil kursus seni persembahan sebagai jurusan sampingan serta minat mereka terhadap seni teater.

“Hanya lima orang sahaja pelajar teater (seni persembahan) yang lain semua pelajar bidang lain.

“Ada yang (mengambil kursus) biologi, matematik dan pendidikan khas kanak-kanak dan kami juga dibantu pelajar jurusan tarian,” katanya yang juga merupakan pelajar dari jurusan pendidikan awal kanak-kanak.

Jelasnya lagi, bagi menjayakan Mariposa, ia memerlukan seramai 85 orang ahli yang terdiri daripada 15 orang pelakon dan juga pasukan lain iaitu dari krew produksi, krew pengurusan, komposisi muzik dan pemuzik.

Di dalam teater Mariposa, kostum yang diperagakan serangga -dimainkan pelakon- boleh dianggap lihai membeli jiwa anak kecil yang gemar dengan cerita dongeng membabitkan watak fantasi.

Tambah Ainun, masa yang diambil bagi menjayakan teater itu mengambil masa kira-kira empat bulan - yang dilaksanakan sejak bulan Mei lalu-bagi memenuhi tugasan terakhir dalam kursus seni persembahan itu.

“Masa dalam kira-kira empat bulan, kami rangka persembahan dari Mei untuk jayakan Mariposa.

“Untuk pakaian memang hampir semua direka dan hasil tangan oleh kami (pelakon dan krew produksi) sendiri,” katanya.

Tidak ketinggalan alunan irama yang dihasilkan pelajar muzik juga merupakan penambah perisa dalam teater tersebut.

Antara 17 judul lagu yang dibawa krew pemuzik adalah, Si Sombong, Membara, Ratus, Dengarkan ini dan pelbagai lagi.

Teater Mariposa berlangsung dengan jayanya di UPSI selama dua hari pada 6 dan 7 Disember lalu dan dihadiri lebih 1000 penonton dengan pelbagai lapisan umur.

Tiket juga dijual dengan harga RM 10.

Lihat Komen
ADS