Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan

ULASAN | Sehingga kini, isu remaja yang hamil dibawah umur kian meningkat angka hari demi hari.

Dianggarkan secara purata, 4,000 remaja perempuan bawah 18 tahun hamil dilaporkan setiap tahun berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan Malaysia.

Memetik statistik berkenaan, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata dari tahun 2012 hingga 2016, sebanyak 79,302 kes remaja perempuan hamil bawah 18 tahun telah dilaporkan.

Ini kenyataan pahit. Ia sepahit yang dialami watak Dara Yunika dalam sebuah filem terbitan negara jiran iaitu Dua Garis Biru.

Dara, lakonan Adhisty Zara terlanjur bersama kekasihnya Bima, watak dimainkan Angga Aldi Yunanda.

Dua garis merah

Mereka yang berusia 17 tahun pada ketika itu, tidak tahu bahawa kegiatan dilakukan, menjerumus kepada kehidupan yang tak terbayangkan, iaitu menjadi ibu-bapa.

Terdapat babak yang menarik di mana mereka masih keliru dengan proses kehamilan bagi menentukan jantina bayi.

Bima pernah berkata ketika babak ke klinik sewaktu pemeriksaan bulanan kehamilan Dara.

“Owh jadi anaknya lelaki ya... saya fikir perempuan kerana waktu diuji pakai kit ujian kehamilan itu tandanya dua garis merah, jadi terus langsung saya kira perempuan,” katanya yang juga membuatkan doktor di dalam filem itu terkejut.

Kit ujian kehamilan adalah satu alat yang diguna bagi membuat pemeriksaan awal sekiranya terdapat tanda-tanda kehamilan.

Kit tersebut cuma akan menunjukkan dua garis – tidak kira warna biru atau merah - iaitu positif hamil ataupun satu garis menunjukkan sebaliknya. Bukan jantina bayi tersebut.

Maka dengan itu, penulis dapat tafsirkan kehidupan serba moden kini masih memperlihatkan bahawa ilmu pendidikan seks sangat kurang di kalangan remaja.

Walaupun pendidikan seks ini sangat penting masih ada yang berpendapat bahawa ilmu yang bakal diajar ini menjerumus kepada peningkatan kegiatan seksual.

Selain itu, faktor kekeluargaan dalam filem ini jelas terpampang. Pada awalnya keluarga Bima dan Dara amat marah akan perilaku yang dilakukan mereka.

Bagaimanapun, mereka mula reda dengan takdir dan mula mencari penyelesaian terhadap masalah dihadapi dan membantu kedua mereka dalam proses menjadi kedua ibu-bapa.

Kes buang bayi

Jadi menurut penulis, dorongan dan semangat kedua ibu-bapa itu penting supaya anak mereka yang sudah tersilap langkah berasa masih ada sinar untuk kembali ke jalan benar.

Setiap manusia yang melakukan kesalahan wajar diberi peluang kedua. Ini antara nilai yang ditonjolkan oleh kedua ibu bapa Bima dan Dara yang boleh diambil ikhtibar.

Babak filem ini pada awalnya cukup mendebarkan apabila Dara dan Bima membuat keputusan untuk mengugurkan kandungan itu.

Pada ketika itu, Dara berpendapat bahawa itu sajalah jalan yang ada. 

Bagaimanapun, mereka membatalkan hasrat itu selepas muncul rasa sayang terhadap bayi dalam kandungan Dara.

Adalah satu kesilapan buat siapa yang menggangap filem ini hanya rekaan manusia dan tidak mempunyai pasakan nilai apa-apa.

Ini kerana, jalan penyelesaian yang dilakukan Bima dan Dara hampir sama dengan keseluruhan remaja yang mengalami situasi sama.

Buktinya, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan sejumlah 577 kes pembuangan bayi bagi tahun 2014 sehingga 2018.

Mungkin juga sudah sampai masanya, Malaysia mengambil pengajaran dalam filem itu dan berfikir sejenak mengapa pentingnya pendidikan seks diajar di kalangan remaja.

Untuk rekod, filem Dua Garis Biru yang sudah menjengah di layar perak sejak 3 Oktober lalu meraih rating sangat memuaskan dan juga beberapa anugerah.


RAMIEZA WAHID ialah wartawan Malaysiakini.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS