Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

ULASAN | Kita sedang berada di tahun yang penuh ngeri. Tahun orang miskin secara umum masih dihukum malas dan dituduh mencemburui orang kaya yang dibantu kerajaan dan para menteri.

Awal bulan ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan suatu butiran rakaman yang cukup menyakitkan. Namun sebaik belum sempat mereka habis menyelesaikan hal pendedahan, mereka telah pun menjadi mangsa hentam dan kecaman atas pendedahan yang mereka lakukan.

Kita sedang berada di tahun yang penuh mengerikan. Apabila ada Dong Jiao Zong yang semberono menolak tiga mukasurat pembelajaran Jawi atas alasan khuatir 'disunat' kerana kononnya ia membawa agenda pengislaman.

Kita sedang berada di tahun yang cukup ngeri, apabila ada mufti yang sudi mengajak kita berkelahi hanya kerana Jawi. Kononnya tidak wajar lapan orang menteri turun bersekali 'menyelamatkan' tanglung di sebuah sekolah di Puchong.

Pada 2008 seorang pengarah filem berbangsa Jepun, Yojiro Takita, menghasilkan sebuah filem berjudul Okuribito atau bermaksud Departures.

Okuribito mengisahkan tentang segala pengalaman ngeri yang sedang kita alami sekarang ini - iaitulah ambiguiti budaya yang tidak pernah pun siapa peduli.

Segala soal keresahan dan keterdesakan hidup peribadi, ketidakpedulian yang berleluasa serta membesarkan kepentingan diri, bangsa, agama dan kepercayaan sendiri sebenarnya berakar umbi daripada kesamaran atau ketidaktentuan memahami budaya di tempatnya sendiri.

Makna disusun berlapis-lapis

Ambiguiti budaya ini pada hujungnya menyebabkan semua kita membuat tafsiran sendiri. Tanpa mengambil kisah untuk memahami latar sejarah dan memahamkan makna serta keindahan seni di sebalik ritual dan teknik pengamalan sesuatu budaya yang mungkin saja berupa tanglung dan tulisan Jawi.

Okuribito mengisahkan Kobayashi - seorang pemain selo sebuah orkestra di tengah kota raya moden Tokyo - yang tiba-tiba dikejutkan dengan berita pembubaran kumpulan anggotainya.

Peristiwa tersebut menyebabkan Kobayashi dan isterinya - Mika - terdesak untuk pulang ke kampung halaman demi meneruskan kelangsungan hidup.

Dari premis mudah itulah naratif filem berkenaan digerakkan. Yujiro bijak menyusun segala pemikiran dan pengalaman yang dilalui Kobayashi. Justeru ia terhimpun menjadi lapis-lapis makna yang berintikan ambiguiti budaya yang tidak siapa kisah atau peduli sehinggalah ia berubah menjadi sesuatu yang ngeri.

Dalam masyarakat Jepun, secara umumnya budaya urusan pengebumian mayat adalah ritual yang penuh dengan ketertiban penghormatan keluarga dan diri yang mati.

Mayat akan dibasuh bersih dan segala rongga tubuh akan ditutupi dengan kapas sebelum ritual - yang dipanggil nokan - pun dijalankan oleh seseorang yang dipanggil nokanshi.

Nokanshi akan membersih dan menyiapkan mayat sepertimana apa yang waris si mati kehendakkan. Mayat akan disolek dan akan dikenakan dengan pakaian kegemaran terbaik sebelum diletakkan bersama-sama segala barang keperluan sebagai 'bekalan' di akhirat.

Walaupun tradisi mengurus mayat dan ritual menghias orang mati ini menjadi salah satu budaya penting dalam masyarakat, namun Kobayashi - yang di kampungnya bekerja sebagai nokanshi - masih dianggap hina oleh masyarakat setempat.

Bukan itu saja, dia juga dihina dan dijauhi rakan, jiran, malah isterinya sendiri.

Tak layak disentuh

Hal itu terjadi kerana budaya tradisional mereka yang menganggap segala yang berkaitan dengan mati adalah sebagai kagare atau kekotoran yang membawa kehinaan.

Tanggapan itu berlanjutan kepada hal-hal sepele seperti sentuhan, sehingga orang yang menyentuh batang tubuh orang mati harus menjalani ritual pemurnian untuk dibersihkan sebelum ia boleh diizinkan.

Budaya lama itu malah mencatatkan sejarah kewujudan puak Mortik yang dianggap kotor kerana pekerjaan mengurus mayat yang mereka lakukan. Malah kumpulan itu dipaksa hidup dalam kelompok mereka sendiri kerana masyarakat era feudal beranggapan mereka adalah burakumin atau komuniti yang tidak layak disentuh.

Walaupun Jepun melalui zaman pemulihan budaya melalui proses peralihan reformasi - atau juga disebut sebagai revolusi Meiji - pada 1868, stigma tentang budaya itu kekal sebagai sesuatu yang pada akhirnya berkembang menjadi ambiguiti yang bukan kepalang ngerinya kerana memangsa dan mendiskriminasi masyarakat sendiri.

Teksdealisme Okuribito tulisan Kundo Koyama dan arahan Takita bukanlah troll ala maharaja lawak kumpulan Rare atau kata pikat (punch line) jenaka kumpulan J-born.

Ia adalah teks visual yang mempersoalkan masyarakat yang menjadi mangsa ambiguiti budaya kerana tidak kenal pensejarahan Jawi sebagai tulisan dan pengisahan klasik tanglung dalam perayaan.

Punca segala masalah

Konflik filem itu adalah tentang pertentangan Kobayashi dengan diri dan isteri yang dia sayangi. Peristiwa peperangan dalam diri Kobayashi itu menjadi refleksi penting buat masyarakat merenung kembali tentang ambiguiti budaya yang ngeri.

Masyarakat kita hari ini tidak melihat dan memberi nilai pada perlakuan salah atau benar untuk dijadikan budaya hidup seperti apa yang dilakukan Latheefa Koya SPRM.

Sebaliknya kita mudah terjerumus dalam sikap menghukum menurut sentimen kepartian yang kebetulan menjadi punca kepada segala masalah ambiguiti budaya kita hadapi hari ini.

Kerana itulah fokus kita hanya tertumpu kepada perkara-perkara yang tidak benar - seperti tanglung itu membawa bahaya akidah dan tulisan Jawi adalah dakyah Islam di sekolah.

Kerana adalah sebagaimana apa kata filem berjudul Okuribito tadi katakan. Kita adalah mangsa ambiguiti budaya yang ngeri.

Seberapa teruk pun kesan dan seberapa ramai pun mangsa yang bakal jadi korban diskriminasi akibatnya ia tetap dipandang ringan dan tak siapa pun ambil peduli.


HARIS HAUZAH penulis gagal yang lebih banyak menghabiskan masa mendengar lagu-lagu The Lumineers dan Bob Dylan dalam bilik berbanding ke pesta-pesta buku.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS