Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Penerbit labur RM6 juta untuk perkenal budaya Baba Nyonya dalam filem

Seorang penerbit dan usahawan sanggup menyediakan peruntukan lebih RM6 juta demi merealisasikan impiannya melahirkan sebuah filem yang mengangkat tema budaya Baba dan Nyonya berjudul Nyonya Ronggeng.

Meskipun julung kali membabitkan diri dalam bidang perfileman, Dr K C Lee mengaku dia yakin melabur sebanyak itu demi hasratnya memperkenalkan budaya dan adat Malaysia melalui filem kepada pelancong.

“Setiap tahun syarikat saya membawa sekurang-kurang 250,000 pelancong ke tanah air. Saya dapati orang luar sering tertarik dengan budaya unik negara kita.

“Saya anggap sesebuah filem mampu merangsang ekonomi melalui pelancongan negara sama seperti kejayaan diraih filem Hong Kong, iaitu Summer Holiday yang berjaya perkenalkan Pulau Redang kepada mata dunia.

“Impak filem itu menjadikan Pulau Redang sebagai destinasi pilihan pelancong yang memberangsangkan,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman filem berkenaan di sebuah hotel di Kuala Lumpur kelmarin.

Mengulas lanjut, Lee berkata, selain untuk menerbitkan naskhah Nyonya Ronggeng, peruntukan RM6 juta itu juga merangkumi pembinaan galeri yang akan menjadi tempat tumpuan pelancong menikmati juadah masakan kaum Peranakan.

“Rumah agam yang sedang dalam pembinaan dan sudah siap sebanyak 70 peratus itu terletak di Jalan Inai, Bukit Bintang. Ia menelan kos hingga RM2.8 juta.

“Ia akan digunakan sebagai lokasi utama sewaktu penggambaran dan kemudian dijadikan galeri bagi mempamerkan bahan-bahan berkaitan naskhah Nyonya Ronggeng selepas penggambaran berakhir.

“Selain tu, ia juga akan dijadikan tempat untuk menghidangkan pelbagai menu masakan masyarakat Baba dan Nyonya,” katanya.

Filem mendapat arahan Raja Mukhriz itu dijangka memulakan penggambaran sekitar September depan.

Nyonya Ronggeng berkisahkan pengorbanan seorang wanita bernama Rose dari keturunan Baba dan Nyonya yang ingin menumpang kasih sayang dari seorang jejaka.

Namun kehadirannya mencetuskan kebencian kepada ahli keluarga lelaki yang dicintai disebabkan pekerjaannya sebagai penari ronggeng.

Menggunakan latar masa antara 1940-an hingga 1970-an, Nyonya Ronggeng diharapkan dapat siap sepenuhnya dan menemui penonton sempena sambutan Bulan Kemerdekaan pada 31 Ogos tahun depan.

Perjalanan hidup Rose dipaparkan secara berkala, dengan latar belakang beberapa kejadian dari tahun 1942-an hingga penghujung 1970-an seperti pembunuhan beramai-ramai Sook Ching, kemerdekaan Tanah Melayu, 31 Ogos 1957 dan Tragedi 13 Mei 1969.

Sementara itu, pelakon utama dan penerbit bersama filem berkenaan, Yingli Tan berkata, sejarah keturunannya yang mempunyai kaitan dengan kaum Peranakan menjadi antara salah satu sebab dia terpanggil untuk menceritakan budaya itu kepada umum.

Selain itu, kata pemenang Miss Malaysia Queen of Tourism 1996 berkenaan, sewaktu bekerja di luar negara, ramai kenalannya yang berminat dan bertanyakan mengenai Malaysia.

“Saya membesar dengan budaya ni yang mempunyai keunikan tersendiri. Sayang jika saya tak kongsikan khususnya pada negara luar,” katanya.

Lihat Komen
ADS