SENI & HIBURAN

Belajar mencontohi Port dan Cendana

Abdullahjones

Diterbitkan
Dikemaskini 24 Jan 2020, 7:16 pagi

Pemberian dana industri kreatif oleh Port (People Of Remarkable Talent) Ipoh sepatutnya dicemburui oleh semua persatuan yang berasaskan seni di seluruh negara.

Dengan dana pendahuluan daripada Menteri Besar Perak berjumlah RM100,000, seramai 25 orang seniman yang dipilih dan disaring melalui 78 permohonan diterima Port.

Kerajaan Perak juga berjanji akan menambah lagi jumlah dana berkenaan bagi membantu seniman yang berkarya selama lebih lima tahun di negeri itu.

Kesungguhan Perak menyemarakan lagi kegiatan seni dengan memberi sokongan kepada pengiatnya haruslah dipuji.

Port bermula pada 2011 dan - di sebalik pertukaran kerajaan - ianya masih diteruskan seperti biasa.

Ini adalah sesuatu yang harus dicontohi. Kerja yang baik harus diteruskan walau siapa pun yang memulakannya.

Selain Balai Seni Negara dan Cendana (Cultural Economy Development Agency, atau Agensi Kemajuan Ekonomi Kesenian), tidak ada badan khas yang mahu benar-benar berkongsi dana untuk diberikan kepada pengiat seni agar mereka terus menghasilkan karya.

Penat lelah diiktiraf

Sementara persatuan-persatuan negeri pula masih mengharapkan dana hanya untuk hidup.

Tidak mungkin mana-mana persatuan pelukis yang ada hari ini mampu memberikan bantuan kewang kepada ahli-ahlinya kerana tiada sokongan seperti yang dilakukan oleh kerajaan Perak kepada Port.

Badan-badan yang berkaitan seni di peringkat negeri seharusnya memainkan peranan membentuk kerjasama dengan persatuan pelukis atau apa pun bentuk kesenian.

Tumpuan semestinya diberikan kepada para pengiat yang berkarya di negeri masing-masing.

Port telah melakukan sesuatu yang membanggakan apabila mereka mengiktiraf penat lelah pengiat seni Perak.

Setakat ini, selain Port di Ipoh, hanya Rumah Seni Selangor (Russel) di Selangor dan Serambi Karya di Kuala Lumpur yang mendapat sokongan penuh daripada kerajaan negeri masing-masing.

Di tempat-tepat lain, tidak ada langsung pusat seni setempat yang diberikan peruntukan khas oleh negeri-negeri berkenaan.

Mereka golongan muda

Semua pertubuhan seni negeri sentiasa perlu mengharap nasib yang baik untuk meneruskan kelangsungan mereka.

Seperti yang kami nyatakan dulu, hanya kecintaan kepada apa yang mereka lakukan itulah yang membuatkan mereka - yakni pengkarya terbabit - terus bekerja walaupun terpaksa merayu ke sana ke mari untuk memohon bantuan.

Sepatutnya semua negeri menyediakan sebuah tempat untuk para pengiat boleh berkarya dengan aman tanpa perlu memikirkan dari mana mereka boleh mendapat sumber bagi meneruskan kegiatan memperkembangkan seni di negara ini.

Satu hal yang harus ditekankan ialah, semua pusat kegiatan setempat yang telah berjaya ini - iaitu Port, Russel dan Serambi Karya - diterajui oleh orang yang benar-benar mencintai apa yang mereka laku.

Dan tentu saja mereka adalah daripada golongan orang muda.

Ini penting kerana hanya dengan kecintaan dan semangat yang kuat dapat menjadikan apa juga perkerjaan itu dilakukan dengan penuh keiklasaan.

Sudah sampai masanya kita yang sudah berusia ini hanya menjadi pendorong yang tidak menggangu kepada anak-anak muda kerana dunia ini milik mereka.

Mengenai Port dan Cendana, kami tidak ada komplen selain daripada makna akronim mereka yang diterjemah dari bahasa Inggeris.

Walaupun sudah bosan memperkatakannya, kami berasakan Pusat Orang Kreatif adalah lebih sesuai berbanding People Of Remarkable Talents, manakala Agenseni tentu saja lebih sesuai untuk Cendana.


ABDULLAHJONES ialah pelukis sepenuh masa.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.