Masih ingat bagaimana imej pada halaman buku belajar membaca al-Quran, Iqra', ditularkan ketika wabak koronavirus baru menular baru-baru ini?
Ia antara lain dipaparkan sebagai suatu petanda bahawa penyakit yang berpunca dari Wuhan di wilayah Hubei, China itu, kononnya berlaku "pada zaman penuh dusta."
Rupa-rupanya antara yang menularkannya ialah isteri penyanyi lagu-lagu dakwah Indonesia, Opick, yang dikenali sebagai Bebi Silvana.
Dakwa Bebi, virus itu - yang kini menular ke pelbagai negara di seluruh dunia - meresahkan masyarakat global dan sudah membunuh lebih 450 orang.
"Segalanya tidak ada yang kebetulan. Yakinlah bahawa setiap kejadian di alam semesta ini (baik itu ucapan, perbuatan, tulisan) ada dalam kekuasaan dan pengetahuan Allah.
“Kerana tidak akan terjadi kecuali jika Allah tidak mengizinkan," katanya di Instragram.
Turut mengiringi kata-kata tersebut ialah kapsyen salah satu halaman dari buku Iqra yang digariskan dengan warna merah membentuk seperti perkataan Arab iaitu qorona, kholaqo, zamana dan kazaba.
Betul-betul mengaku salah
Ia turut menular di Malaysia dengan sebaran melalui media sosial atau dikongsikan dalam aplikasi WhatsApp.
Bagaimanapun ia juga turut ditertawakan ramai orang kerana tidak menepati hukum bahasa Arab.
Gara-gara kenyataannya itu, Bebi mengaku dia menerima banyak kecaman daripada warganet.
“Saya tak menyangka akan menjadi viral dengan keributan dan mengundang cacian seperti goblok, tolol, bodoh, bahkan ada pula yang menyebutku pelakor (kependekan kepada perebut laki orang).
“Tapi tak apa, sebutan semua itu jauh lebih baik untuk saya daripada saya jatuh dalam kesalahan dan jauh dari reda Allah,” katanya.

Menjelaskan punca kekilafannya, Bebi berkata, ia bermula selepas menerima maklumat daripada seorang rakan yang dianggapnya mahir dalam bidang agama.
“Awalnya saya dapat daripada seorang rakan yang dianggap sangat faham ilmu agama tapi dia pun salah.
“Dia mengirimkan maklumat tadi dari sebuah kumpulan dan kini ia sudah bertebaran di media sosial," katanya.
Bahkan pada ketika itu, Bebi berasakan bukan menjadi kesalahan untuk dia menjelaskan apa yang berlaku di Wuhan, China, ketika ini saling berkait rapat.
“Saya hanya memandang takjub dengan erti kejadian yang dialami rakyat Wuhan saat ni,” katanya.
Kesal dengan tindakannya itu, Bebi kemudian segera memohon maaf kerana tidak menyangka hantarannya menjadi tular selain mecetuskan polemik di alam maya.
“Saya berterima kasih untuk semua sahabat yang telah mengingatkan dengan caranya masing-masing (semoga Allah memaafkan kita semua).
“Benar-benar ini adalah kesalahan dan saya sangat mengakui hal ini,” katanya.
