Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Pelukis mahu Balai Seni Negara telus lepas turunkan 4 karya
Diterbitkan:  Feb 10, 2020 3:31 PM
Dikemaskini: 7:31 AM

Selepas sejarah dicatatkan dalam pilihan raya umum (PRU) kira-kira dua tahun lalu, ramai orang berharap akan ada ketelusan dan pertanggungjawaban yang lebih bermakna, kata pelukis visual terkenal, Ahmad Fuad Osman.

Menurutnya, sesebuah institusi kebudayaan utama negara khususnya, wajar mengangkat nilai-nilai tersebut bagi mempamerkan ketelusan yang selama ini didambakan rakyat.

"Kedudukan Balai (Seni Negara - BSN) mengenai perkara ini harus dinyatakan kepada awam.

"Harus ada akauntabiliti dan ketelusan. Alasan mesti dijelaskan, dipertahankan di khalayak ramai, dan tertakluk kepada penelitian dan perbahasan.

"Kita akan menyangka dalam Malaysia hari ini, selepas keputusan pilihan raya bersejarah yang digerakkan oleh permintaan rakyat atas dasar pertanggungjawaban dan ketelusan, institusi kebudayaan utama negaralah yang wajar menghargai dan menegakkan nilai-nilai ini," katanya di Facebook.

Kenyataan Ahmad Fuad itu dibuat sebagai komen terhadap tindakan BSN menurunkan empat daripada karyanya yang dipamerkan di premis berkenaan.

Ia sebelum ini sudah mendapat kelulusan dan dipamerkan kepada orang ramai sejak penghujung Okt tahun lalu.

Bukan sekadar karya saja

Tindakan menurunkan karya tersebut dibuat ketika pameran berkenaan - dinamakan At The End Of The Day Even Art Is Not Important - berbaki 19 hari saja lagi.

Antara karya terbabit menggambarkan tokoh berpengaruh dalam politik masa ini, iaitu Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad; Presiden PKR, Anwar Ibrahim; dan timbalannya, Azmin Ali.

Menurut Ahmad Fuad, dia dimaklumkan secara rasmi mengenai keputusan menarik balik paparan empat karyanya itu oleh pihak pengurusan pada 21 Jan lalu.

Alasan yang diberikan BSN, katanya, ialah agensi itu menerima aduan daripada salah seorang anggota lembaganya.

Susulan itu, Ahmad Fuad turut menggesa agar keseluruhan pameran - yang menampilkan hasil karya sepanjang hidupnya itu - segera ditutup.

"Pada 7 Februari, saya menulis kepada BSN dengan menyatakan saya mendapati tindakan penapisan ini sangat merisaukan dan tidak dapat diterima. Ia adalah sewenang-wenangnya, tidak wajar dan menyalahgunakan kuasa institusi.

"Saya juga meminta mereka menjelaskan sepenuhnya alasan mereka, meminta jawaban kepada soalan saya tentang proses dan alasan mereka. Keputusan mereka, dan penjelasan yang diberikan tidak mempunyai ketelusan dan akauntabiliti," katanya.

Menurut Ahmad Fuad lagi, dia pernah mencadangkan agar BSN menutup keseluruhan pameran dengan segera, dan bukannya membiarkannya terus terbuka dalam keadaan terjejas ekoran penarikan balik sebahagian daripada karyanya.

"Isunya lebih besar daripada beberapa karya atau sebuah pameran, atau praktis seniman tertentu.

"Isunya ialah integriti seni di Malaysia dan proses ia disampaikan kepada institusi awam," katanya.

Malaysiakini sudah cuba menghubungi BSN untuk mendapatkan reaksi mereka.

Lihat Komen
ADS