Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
‘Andai jumpa, teman ludoh muka dia, lempor kat sungei’

Usop Wilcha meluahkan kemarahannya terhadap seorang penceramah setelah didakwa menggesa kerajaan menghapus kan tulisan dan bahasa Cina di Malaysia.

Pelakon dan pelawak itu berkata demikian susulan kenyataan Abu Syafiq melalui klip video yang tular di media sosial ketika ini.

“Kepada @PDRMsia, minta maaf kalau teman nak tanya dan nak minta pendapat. Boleh tak andai kata teman jumpa makhluk dalam gambor ni, teman ludoh kat muka dia dan lempor kat sungei.

“Kalau tak boleh takpe, teman tanya je dulu. Udoh makin ramai sangat individu buat kenyataan secara terbuka macam ni,” ciapnya di Twitter.

Video tersebut memaparkan Abu Syafiq menggesa kerajaan menghapuskan apa saja perkara berkaitan tulisan dan bahasa Cina di mana-mana tempat sama ada di papan tanda, surat khabar, buku teks atau novel.

“Tindakan ini wajar kerana kita di Malaysia ada bahasa Melayu, Cina bukan bahasa kebangsaan yang menggantikan tempat untuk warganegara Malaysia,” katanya.

 Abu Syafiq bagaimanapun berkata video yang beredar itu cuma sebahagian daripada kenyataannya dan diambil di luar konteks.

Bagaimanapun, pengikut Usop turut menyerangnya dengan berkata tidak wajar bagi seseorang yang mempunyai gelaran ustaz mengeluarkan kenyataan sebegitu.

Usop atau nama sebenarnya Syed Mohamad Asri, 55, berkata, ustaz hanya gelaran yang diberi oleh manusia kepada seseorang individu.

“Gelaran dari kalangan manusia yang dikejar tidak bermakna berbanding dengan kurniaan dan kemuliaan yang maha Esa,” ciapnya.

‘Saya jaga ramai anak Cina mualaf’

Sementara itu, melalui aplikasi teks pesanan ringkas WhatsApp kepada Malaysiakini, Abu Syafiq menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang dilemparkan terhadapnya.

Dia menjelaskan video tular terbabit sudah lama disiarkan dan tidak menggambarkan maksud keseluruhan konteks yang ingin disampaikannya pada ketika itu.

Abu Syafiq 

Abu Syafiq mendakwa, video tular terbabit diputarkan bertujuan melaga-lagakan dirinya dengan orang Cina namun hakikatnya dia tidak menolak waima tulisan, bahasa atau memusuhi bangsa berkenaan.

"Video bukan baru tapi tahun lalu punya, ia diputarkan semula secara salah, palsu dan tak benar dengan niat untuk melaga-lagakan saya dengan orang Cina.

"Kandungan video tular tu juga tak penuh selain tidak diiringi dengan kenyataan penuh daripada saya berhubung isu sedang diperkatakan.

"Adalah tidak benar sama sekali bahawa saya menolak bahasa mahupun tulisan Cina sedangkan di pusat pendidikan saya, ada pembelajaran asas bahasa berkenaan yang disusun untuk pelajar-pelajar. Subjek diajarkan guru Cina Muslim.

"Saya jaga ramai anak Cina mualaf, peluk Islam, kita minta interaksi pelajar madrasah dalam bahasa Cina," katanya.

Sebaliknya, kata Abu Syafiq, ketika itu dia sekadar memberi pandangan berhubung isu penolakan bahasa Jawi dengan membuat perbandingan sekiranya bahasa Cina ditolak.

"Sebenar saya hanya beri pandangan, sekiranya ada pihak tak terima andai tulisan Cina ditolak begitu juga orang Melayu tak boleh terima sekiranya tulisan Jawi ditolak," katanya.

Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS