Pengarah Mohd Fazli Yahya atau Pali Yahya tampil menjawab pertikaian berhubung kesesuaian pemilihan pelakon selain latar belakang drama bersiri arahannya, Korban Kasih, yang mengundang kritikan ramai.
Menurutnya, meskipun menghormati pandangan penonton yang berhak memberikan komen, perkara itu masih dianggap sangat tidak adil buat pihaknya yang berusaha menerbitkan sebuah naskhah diinspirasikan daripada novel sarat mesej kekeluargaan.
Kata Pali, terdapat komen tular sampai ke pengetahuannya membabitkan rasional penggunaan dua watak kembar bertubuh sado - dilakonkan Saharul Ridzwan dan Azrel Ismail - bagi membawakan watak pelajar sekolah.
"Anggaran masa perjalanan cerita ni dari Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia hingga mereka bekerja dan berjaya adalah antara lima hingga enam tahun (2014 hingga 2020).
"Justeru, agak sukar untuk mengambil pelakon remaja lain bagi membawakan watak Jalil dan Jamil pada zaman persekolahan kerana apabila watak yang menginjak dewasa selepas itu perlu seiras dengan pelakon remaja tadi.
"Sedangkan jarak masa zaman persekolahan dan dewasa hanya dua hingga tiga tahun sahaja," katanya dalam satu kenyataan.
Korban Kasih ditayangkan sepanjang Ramadan di TV1 bermula 24 April lalu.
Ia menceritakan kisah kekeluargaan yang dirakamkan melalui pandangan Fatimah yang melihat perselisihan dan pilih kasih dalam keluarganya. Dia tidak mengerti mengapa ibunya membenci Jalil hingga abangnya itu tersingkir selepas kematian bapanya.
Bersyukur dapat sambutan menggalakkan
Menurutnya, ada juga beranggapan keseluruhan drama tersebut hanya berkisar pada zaman persekolahan kedua-dua watak utama sedangkan ia hanya melibatkan episod imbas kembali sahaja.
"Komen sebegini bagi saya datangnya dari penonton yang tidak pun menonton drama ini, sebaliknya membuat komen berasaskan andaian semata-mata dan hanya membaca tajuk artikel," katanya.
Menurut Pali, persoalan lain turut dibangkitkan netizen adalah apabila melihat watak Norizah (Dynas Mokhtar) yang agak muda, urban dan bergaya.
Katanya, kemungkinan besar penonton yang memberi kritikan tidak membaca novel malah tidak mengetahui karekter Norizah yang harus dibawa dalam drama tersebut.
"Watak Norizah dalam drama ni harus dipaparkan cantik, awet muda dan bergaya sesuai dengan statusnya yang berasal dari bandar dan anak orang berada. Ia amat bersesuaian untuk dilakonkan Dynas," katanya.
Sementara itu, Pali berharap drama arahannya yang sohor kini di media sosial pada setiap episod dapat mengimbangi lambakan naskhah adaptasi novel ringan dan cinta yang banyak diterbitkan.
"Pihak produksi Mache AllStar United Sdn Bhd mengemukakan cadangan penerbitan drama ini ke pihak RTM adalah dengan niat untuk mengimbangi lambakan drama adaptasi novel ringan dan cinta yang telah banyak diterbitkan oleh pelbagai pihak dalam bentuk drama.
"Usaha ini juga yang diharapkan oleh ramai peminat drama Melayu.
"Kami juga bersyukur sambutannya amat menggalakkan dan menerima pujian positif daripada penonton yang sudah lama mahukan drama kekeluargaan seumpama ini dihasilkan," katanya.
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.
