Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Sasterawan Perak, Malim Ghozali PK meninggal dunia
Diterbitkan:  Jun 18, 2020 1:55 PM
Dikemaskini: 5:55 AM

Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Award) 2013, Dr Mohamed Ghazali Abdul Rashid atau nama penanya Malim Ghozali PK meninggal dunia di Hospital Serdang hari ini.

Berita dukacita tersebut diumumkan anaknya yang dikenali dengan nama Bee di akaun media sosial Allahyarham bapanya itu sebentar tadi.

“Abah saya Mohamed Ghozali Abdul Rashid (Pak Malim Ghozali PK) baru saja menghembuskan nafas terakhir di Hospital Serdang.

“Minta jasa baik untuk semua menghadiahkan bacaan al-Fatihah,” katanya.

Bee menjelaskan, jenazah penulis dari Perak itu akan dibawa ke Kota Damansara dan akan disembahyangkan di Surau Ad Duha selepas solat Asar hari ini.

Dia juga memohon kepada sesiapa yang mengenali bapanya untuk memaafkan arwah di atas segala kesilapan yang pernah dilakukan.

“Maafkanlah arwah jika bapa ada sebarang terkasar bahasa dan sebarang kekurangan,” katanya.

Sementara itu, Persatuan Teater Malaysia turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham di atas kehilangan mereka.

Menurut Setiausaha Agung Rozan Azen Mat Rasip, selain pernah memenangi SEA Write Award 2013, Malim juga adalah calon Sasterawan Negara Malaysia ke-14, novelis, penyair dan penulis terkenal.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan insan disayangi-Nya, amin,” katanya.

Malim dinobatkan kerajaan negeri Perak sebagai Sasterawan Perak ketiga pada 13 Disember 2014 selepas Suhaimi Muhammad (1987) dan Mana Sikana @ Dr Abdul Rahman Hanapiah (2004).

Beliau menghasilkan pelbagai jenis sastera, antara karya-karya terbaiknya adalah novel Redang, diterbitkan pada 1988, Janji Paramaribo (1990), koleksi cerpen, Usia (2006), puisi Gemaruang (1987) dan Fantasi Malam (2007).

Namun, kekuatan Allahyarham adalah genre novel dan cerpen. Karya beliau banyak memenangi hadiah sayembara pada peringkat kebangsaan.

Antaranya Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Sastera Utusan-ExxonMobil, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan – Public Bank, Hadiah Sastera Berita Publications dan Hadiah Sayembara Esso-Gapena V.

Lihat Komen
ADS